MANCHESTER, England: Kekalahan minit akhir Manchester United di Chelsea awal pagi tadi akan memberikan motivasi buat pasukan bagi menanti kehadiran pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool hujung minggu ini kata pengurus, Erik ten Hag.
Tambahnya, United pasti akan menggunakan kemarahan akibat kekalahan 4-3 itu sebagai pembakar semangat bagi mengurangkan jurang sembilan mata berbanding lima pasukan teratas.
“Kami perlu pulih dengan cepat. Kami harus menukarnya, jadi esok kami akan berada dalam perasaan yang positif,” katanya kepada wartawan. “Kami akan jadi lebih gila, marah dan anda boleh mendapat banyak tenaga daripadanya.”
United, keenam dalam liga dengan 48 mata, sudah mencicirkan lima mata minggu ini kerana melepaskan gol pada lewat permainan selepas kalah kepada Chelsea dan seri 1-1 berdepan Brentford.
“Mata menjadi sangat mahal kerana perlawanan makin sedikit,” kata pengendali dari Belanda itu.
“Kami perlu belajar bagaimana untuk menang perlawanan, bagaimana beraksi dalam perlawanan besar di penghujungnya dan mendapat tiga mata.”
Ten Hag berkata skuad United yang menewaskan Liverpool pada suku akhir Piala FA bulan lalu ada perwatakan dan ketahanan bagi bersaing Ahad ini.
“Anda boleh lihat kami ada kualiti. Kami ada sebahagian pemain hebat. Kami boleh berada dalam momentum dan bermain standard yang sangat tinggu,” katanya.
– REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






