SEPANG: Kejayaan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei merangkul pingat emas dan beregu wanita, Pearly Tan-M Thinaah membawa pulang perak di Kejohanan Badminton Dunia di Paris disifatkan sebagai bukti nyata keberkesanan program Road To Gold (RTG).
Memetik laporan Berita Harian, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pencapaian bersejarah itu menunjukkan pelaburan kerajaan bukan sekadar berbaloi, malah sudah mula membuahkan hasil buat arena sukan negara.
“Untuk RTG, setiap atlet menandatangani kontrak bagi memberikan komitmen penuh kepada negara kerana ini adalah pelaburan negara. Dalam tempoh empat bulan sahaja kita sudah dapat melihat hasilnya.
“Kejayaan ini amat besar buat RTG kerana program ini melaburkan dana kepada empat-empat atlet terbabit,” katanya yang hadir menyambut ketibaan skuad badminton negara dari Paris di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei dan Pearly-Thinaah diberikan sambutan wira sejurus tiba di tanah air selepas menghadiahkan emas dan perak buat Malaysia di Paris.
Mengulas lanjut, Hannah memuji kebangkitan Tang Jie-Ee Wei yang sebelum ini pernah berpisah pada April lalu namun bangkit dengan penuh bergaya sehingga muncul juara dunia.
Katanya pasangan itu kini wajar melihat diri mereka sebagai salah satu gergasi selepas berjaya meraih pingat emas di kejohanan dunia.
“Kadang-kadang kesungguhan dan ketabahan akan membawa kepada kejayaan yang lebih besar. Saya gembira mereka terus berusaha sejak April hingga kini dan tidak pernah putus asa. Kini mereka perlu melihat diri sebagai gergasi dunia,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut memuji pencapaian Pearly-Thinaah yang membawa pulang pingat perak sebagai sumber inspirasi kepada pemain wanita negara.
“Mereka berjaya menukar impian menjadi kenyataan. Ia pencapaian yang hebat dan memberi inspirasi kepada ramai pemain wanita Malaysia,” katanya.
Hannah turut mengesahkan kedua-dua pasangan itu layak menerima insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) dengan emas bernilai RM20,000 manakala perak RM10,000.
“Saya juga sudah berbincang dengan Presiden BAM (Persatuan Badminton Malaysia), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk pemberian ‘SHAKAM’ tambahan. Pengumuman lanjut akan dibuat kemudian,” katanya. – BH Online –
IMedikel TV






