Home Buletin Semasa KEBAKARAN TERBUKA DI KELANTAN MENINGKAT 2,197 SETAKAT INI

KEBAKARAN TERBUKA DI KELANTAN MENINGKAT 2,197 SETAKAT INI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan mendadak panggilan kebakaran terbuka tahun ini apabila sebanyak 2,197 panggilan diterima setakat ini berbanding hanya 373 panggilan sepanjang tahun lalu.

Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, berdasarkan statistik itu, Kelantan kini menjadi negeri kedua tertinggi menerima panggilan kebakaran terbuka selepas Kedah.

Beliau berkata, peningkatan itu dipengaruhi cuaca kering susulan fenomena El Nino, selain kebanyakan kebakaran dipercayai berpunca daripada aktiviti pembakaran terbuka yang dilakukan dengan sengaja.

“Daripada siasatan kita, kebanyakan pembakaran terbuka berlaku bagi tujuan pembersihan kawasan dan memulakan aktiviti pertanian.

“Ia bukan berlaku secara semula jadi, sebaliknya dilakukan dengan sengaja. Walaupun impaknya mungkin tidak dirasai oleh pelaku, ia boleh menjejaskan kawasan berhampiran termasuk tanaman milik orang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini, hari ini.

Menurutnya, daripada keseluruhan kes kebakaran terbuka yang direkodkan, lebih 70 peratus mmbabitkan kebakaran belukar, manakala kebakaran di kawasan tanah gambut adalah lebih kecil.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini berada dalam fasa El Nino yang dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan taburan hujan lebih rendah, sekali gus meningkatkan risiko kebakaran terbuka.

Sehubungan itu, katanya, JBPM akan mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan serta terus menjalankan kempen kesedaran bagi mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS), pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Sekiranya kita mengesan pembakaran terbuka dan berjaya mengenal pasti pelakunya, kes akan dirujuk kepada JAS dan PBT untuk tindakan penguatkuasaan kerana bidang kuasa pendakwaan adalah di bawah agensi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan JAS juga sedang mengambil tindakan pendakwaan terhadap beberapa kes pembakaran terbuka yang dikesan sebelum ini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here