Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
KOTA BHARU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan menyokong pelaksanaan aktiviti mendulang emas yang dibenarkan kerajaan negeri, namun mengingatkan orang ramai supaya tidak mengabaikan aspek keselamatan kerana ia berisiko mengundang kejadian lemas.
Pengarah JBPM Kelantan, Farhan Sufyan Borhan berkata, walaupun sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang laporan kejadian lemas membabitkan aktiviti mendulang emas, risiko kemalangan tetap wujud sekiranya langkah keselamatan tidak diberi perhatian.
Beliau berkata, aktiviti mendulang emas bukan sahaja dilakukan untuk tujuan ekonomi, malah ada yang menjadikannya sebagai aktiviti riadah bersama keluarga dan rakan-rakan.
“Kadang-kadang mereka pergi mendulang emas bukan untuk mencari emas semata-mata tetapi untuk beriadah bersama keluarga atau teman-teman, namun ia tetap boleh mengundang risiko sekiranya langkah keselamatan tidak diambil kira.
“Keadaan cuaca, keadaan sungai serta tahap kepekaan individu terutama yang kurang berpengalaman perlu diberi perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di sini, hari ini.
Menurutnya, orang ramai yang melakukan aktiviti mendulang perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling terutama ketika berlaku hujan lebat di kawasan hulu sungai yang boleh menyebabkan perubahan paras air secara tiba-tiba.
Sehubungan itu, beliau menggalakkan individu yang terlibat supaya menggunakan jaket keselamatan sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Kalau berlaku kenaikan air, penggunaan jaket keselamatan dapat membantu melambatkan risiko dan memberi peluang untuk menyelamatkan diri,” katanya.
Farhan Sufyan berkata, JBPM Kelantan tidak menghalang aktiviti mendulang emas yang dilaksanakan, namun aspek keselamatan air perlu sentiasa diberi keutamaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
IMedikel TV






