Home Buletin Semasa CEDERA KETIKA UKIR KAYU SUDAH JADI ASAM GARAM BUAT MARHAJA

CEDERA KETIKA UKIR KAYU SUDAH JADI ASAM GARAM BUAT MARHAJA

Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV

KUANTAN: Pepatah “ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi” tepat menggambarkan perjalanan hidup Marhaja Muhammad, 37, yang mewarisi bakat seni ukiran kayu daripada bapanya, Muhammad Draman, 70.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu kini dikenali sebagai pengukir kayu yang mahir menghasilkan pelbagai produk berasaskan kayu hasil gabungan pengalaman lebih 12 tahun, latihan formal dan tunjuk ajar daripada bapanya.

Kehalusan ukiran serta gabungan warna semula jadi daripada pelbagai spesies kayu pilihan menyerlahkan ketelitian dan kesabaran Marhaja dalam menghasilkan setiap karya.

Menurutnya, asas kemahiran diperoleh daripada bapanya sebelum diperkukuhkan melalui pengajian diploma selama tiga tahun di Institut Kraf Negara (IKN), Rawang, Selangor.

“Ilmu dan kemahiran yang saya pelajari membolehkan saya menghasilkan pelbagai produk menggunakan kayu cengal, tembusu, akasia, merbau, damar minyak dan beberapa jenis kayu lain yang mempunyai warna serta ira yang menarik.

“Selain menghasilkan perabot seperti meja dan kerusi, saya turut membuat senduk, sudip, papan pemotong, sudu, papan ukiran, keris serta pelbagai barangan cendera mata,” katanya.

Marhaja yang menetap di Kampung Chendor Sempadan, di sini berkata, penggunaan kayu berkualiti tinggi bukan sahaja meningkatkan nilai estetika produk, malah membolehkan hasil kerjanya dipasarkan pada harga yang lebih baik.

Katanya, selain mendapatkan bekalan kayu daripada kilang, dia turut memanfaatkan potongan kayu balak, kayu reja dan kayu buangan bagi menghasilkan pelbagai produk kreatif.

Menurutnya, hasil ukiran dipasarkan secara terus kepada pengguna ketika pameran, program jualan dan pekan sehari, selain turut dijual secara dalam talian.

“Saya juga menerima tempahan daripada pelbagai lapisan masyarakat yang meminati seni ukiran kayu. Muzium Sultan Abu Bakar Pekan juga pernah menempah ukiran untuk dipasang pada dinding muzium.

“Sebagai pengukir kayu, kecederaan kecil seperti luka akibat terkena kayu atau pisau ukir memang perkara biasa. Alhamdulillah, sepanjang menceburi bidang ini saya belum pernah mengalami kecederaan serius,” katanya.

Marhaja berkata, penggunaan mesin moden turut membantu mempercepatkan proses penghasilan produk selain memastikan mutu hasil kerja lebih kemas dan berkualiti berbanding kaedah manual.

Beliau juga pernah mengikuti beberapa kursus jangka pendek anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Pahang bagi menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran dalam bidang ukiran kayu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here