STUTTGART: Pengendali Jerman, Julian Nagelsmann menganggap pasukannya mengharungi Euro 2024 secara positif dan percaya mereka lebih baik berbanding Sepanyol walaupun tersingkir di tangan lawannya itu dalam masa tambahan aksi suku akhir.
Pemain Sepanyol, Mikel Merino menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-119 ketika permainan menghampiri penentuan penalti, dan ia cukup mengecewakan buat Jerman yang mengheret permainan ke masa tambahan menerusi gol penyamaan minit ke-89 Florian Wirtz.
Nagelsmann mengucapkan tahniah kepada Sepanyol di atas kemenangan itu, tetapi pada masa sama kecewa kerana anak buahnya sudah memberikan persembahan terbaik mereka.
“Keseluruhan permainan sangat terbuka dan di babak kedua kami tampil lebih baik. Selepas minit ke-60, jelas kami pasukan lebih bagus dengan beberapa peluang keemasan dan akhirnya berjaya menjaringkan gol.
“Kecuali lima minit pertama babak kedua masa tambahan, saya rasa hanya kami yang kelihatan seperti mahukan kemenangan,” kata Nagelsmann yang menyaksikan salah seorang pemain gantiannya berjaya mengimbangi gol pembukaan Dani Olmo (m-51).
Jerman mempunyai peluang untuk menjaringkan gol sebelum dan selepas gol penyamaan Wirtz, dengan percubaan Niclas Fuellkrug terkena tiang.
Kekalahan Jerman lebih sukar untuk ditelan apabila mereka dinafikan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Marc Cucurella dalam masa tambahan.
Walaupun pasukan tuan rumah itu tersingkir daripada kejohanan, Nagelsmann tetap positif berkenaan pendekatan mereka di Euro 2024.
“Pemain-pemain mencurahkan segalanya di atas padang. Saya harap hubungan antara penyokong dan skuad kebangsaan ini akan membawa kesan positif kepada negara ini,” katanya. – REUTERS,BH Online –
ImedikelTV






