Home Luar Negara KAFE ‘BUNGKUS’, PASANGAN KEKASIH AKTIF PECAH RUMAH PULA

KAFE ‘BUNGKUS’, PASANGAN KEKASIH AKTIF PECAH RUMAH PULA

INDIA: Gara-gara perniagaan kafe yang diusahakan mengalami kerugian, sepasang kekasih dipercayai sanggup beralih kepada kegiatan pecah rumah bagi mendapatkan wang dan barangan berharga, lapor India Today.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, perbuatan mereka terbongkar selepas mereka bersama seorang lagi rakan ditahan polis kerana dipercayai terbabit dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Noida.

Dalam operasi berkenaan, polis merampas barang kemas dipercayai hasil curian, wang tunai 3.5 lakh rupee (kira-kira RM15,000), lima komputer riba, dua tablet, enam telefon bimbit dan sebuah kereta dengan nombor pendaftaran palsu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Tambahan Manisha Singh berkata, tiga suspek yang ditahan dikenali sebagai Kailash atau Diwakar, Irfan atau Imran dan Sonali.

Katanya, semua suspek ditahan di kawasan berhampiran tanah perkuburan di Sektor 123, di sini, hasil maklumat dan siasatan yang dijalankan. 

“Hasil soal siasat mendapati suspek menggunakan kereta untuk melakukan tinjauan di kawasan perumahan bertingkat serta beberapa lokasi lain di sekitar bandar ini.

“Mereka menyasarkan rumah yang ditinggalkan kosong sebelum mencuri barang kemas, wang tunai, komputer riba dan barangan berharga lain sebelum membahagikan hasil curian sesama mereka,” katanya.

Siasatan polis mendapati Diwakar dan Sonali adalah pasangan kekasih yang tinggal bersama dengan Sonali dipercayai memainkan peranan penting dalam mengetuai kumpulan berkenaan.

Sonali bertanggungjawab melakukan tinjauan bagi mengenal pasti rumah yang berpotensi menjadi sasaran sebelum Diwakar dan rakannya, Irfan, menjalankan kegiatan pecah rumah.

Lebih mengejutkan, siasatan mendapati kumpulan itu menjalankan kegiatan mencuri pada waktu siang dan berhibur di restoran serta kelab malam pada waktu malam.

Polis kini meneruskan siasatan bagi menyemak rekod jenayah lampau semua suspek serta mengenal pasti kemungkinan pembabitan mereka dalam kes pecah rumah lain di sekitar Noida. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here