KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow mencipta kejutan terbesar pada Kejohanan Skuasy Klasik London 2026 apabila menyingkirkan pilihan keempat, Aly Abou Eleinen di Alexandra Palace, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, pemain ranking ke-18 dunia itu bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan wakil Mesir berkenaan 7-11, 11-4, 11-9 dalam aksi sengit yang menjadi perlawanan paling lama pada hari kedua kejohanan.
Kemenangan itu hadir selepas Eain Yow mengalami kekecewaan apabila tersingkir pada suku akhir Terbuka Budapest, namun pemain berusia 28 tahun itu segera memperbaiki rentak permainannya di London.
Kejayaan menundukkan Eleinen menyaksikan Eain Yow mara ke suku akhir dan bakal berdepan seorang lagi pemain Mesir, Youssef Soliman untuk merebut tempat ke separuh akhir.
“Saya rasa saya bangkit dengan baik. Aly bermain dengan pukulan yang sangat pantas dan saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan corak permainannya,” kata Eain Yow.
Menurut Eain Yow, persembahannya pada set kedua dan penghujung set ketiga menjadi kunci kebangkitan selepas gagal mengawal permainan pada awal perlawanan.
“Saya fikir saya bermain dengan baik pada set kedua dan di penghujung set ketiga. Sudah tentu masih ada beberapa perkara yang perlu saya perbaiki, tetapi saya semakin hampir ke tahap terbaik,” katanya.
Mengulas pertemuan dengan Soliman, Eain Yow mengakui lawannya itu bukan pemain mudah selepas mereka sering menjalani latihan bersama sebelum ini.
“Youssef adalah pemain yang sangat sukar untuk ditewaskan dan kami banyak berlatih bersama, jadi kami sangat memahami corak permainan masing-masing.
“Saya rasa ia akan bergantung kepada siapa yang menjadi pemain lebih baik pada hari perlawanan,” tambahnya. – BH Online –
IMedikel TV






