Home Sukan JUARA BERTAHAN KEKAL UNGGUL DI TERENGGANU 4X4 MERDEKA CHALLENGE 

JUARA BERTAHAN KEKAL UNGGUL DI TERENGGANU 4X4 MERDEKA CHALLENGE 

Oleh: Wartawan IMedikel TV

KUALA NERUS: Rubber Tipper dan Andak TXV @ AJFIX terus membuktikan kehebatan apabila masing-masing mempertahankan gelaran juara kategori Short Wheel Base (SWB) dan Long Wheel Base (LWB) pada Terengganu 4×4 Merdeka Challenge edisi keenam.

Kejohanan berkenaan melabuhkan tirai Sabtu lalu di Bandar Baru Kuala Nerus, di sini.

Rubber Tipper muncul juara SWB selepas mengumpul 441 mata menerusi lapan peringkat perlumbaan(SS), sekali gus mengatasi 26 pencabar lain dalam kategori berkenaan.

Pasukan dari Merapoh, Pahang itu sekali lagi mempertaruhkan Daihatsu Feroza 1.6 SE yang dipandu Mohd Fadly Deraman bersama Mohd Fadil Mat Ayub sebagai pemandu arah untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi tahun lalu.

Pengurus pasukan Rubber Tipper, Noor Ashrol Mohd Noor berkata, keadaan cuaca panas dan berjerebu serta karakter litar yang lebih mencabar menguji ketahanan pasukan sepanjang dua hari perlumbaan.

“Tahun lalu kami beraksi dalam keadaan basah sehingga terpaksa membalut karburetor dengan plastik, tetapi kali ini kami pula terpaksa berdepan cuaca panas dan berjerebu yang benar-benar menguji kami untuk menamatkan setiap peringkat perlumbaan.

“Litar di Kuala Nerus juga memaksa kami bekerja lebih keras berbanding tahun lalu. Persaingan daripada pasukan lain semakin meningkat dan ada antara mereka berjaya mengutip mata penuh serta mendahului kami di beberapa SS,” katanya.

Sementara itu, Andak TXV @ AJFIX dari Selangor terus menguasai kategori LWB apabila mengumpul 761 mata untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi pada edisi lalu.

Pasukan itu sekali lagi menurunkan tiga jentera, dengan Jeep Cherokee 2.5L menjadi taruhan yang membawa mereka mengekalkan gelaran kategori berkenaan.

Pengurus pasukan  Andak TXV @ AJFIX, Mohd Foudzi Samat berkata, cabaran dalam kategori LWB mempunyai kesukaran tersendiri, terutama apabila karakter laluan boleh memberi kelebihan kepada jentera daripada kategori lain.

“Seperti edisi lalu, kami mempertaruhkan tiga jentera dan kali ini Jeep Cherokee 2.5L kami sekali lagi berjaya mempertahankan kejuaraan kategori LWB.

“Saingan LWB bukan mudah kerana bentuk cabaran litar tertentu lebih memberi kelebihan kepada jentera kategori lain, namun kami bersyukur kerana berjaya mengutip mata penuh dalam empat SS,” katanya yang ditemui sebaik tamat perlumbaan.

Terengganu 4×4 Merdeka Challenge edisi keenam disertai 56 jentera yang bersaing dalam tiga kategori menerusi lapan SS sepanjang dua hari perlumbaan.

Acara tahunan itu dianjurkan Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah (UT 4×4) dengan kerjasama Kelab Terjoh! 4×4 Kuala Terengganu sebagai rakan teknikal, serta mendapat sokongan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Tourism Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia (MFWDA) dan kerajaan negeri Terengganu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here