LONDON: Pemerintah Britain, Raja Charles semalam memperkenankan surat kepada pegawai kanan kerajaan Britain yang mengesahkan bahawa anak bongsunya, Putera Harry dan isterinya, Meghan kekal sebagai anggota keluarga diraja yang tidak menjalankan tugas rasmi selepas kembali ke United Kingdom.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, surat itu dikongsi kepada pasukan Harry dan dihantar sebagai panduan kepada pegawai kanan kerajaan serta ketenteraan.
Surat berkenaan menyatakan selepas Harry dan Meghan berundur daripada tugas rasmi diraja pada 2020, mereka “tidak lagi menjadi anggota keluarga diraja yang menjalankan tugas”.
“Status ini berbeza daripada kedudukan anggota keluarga diraja yang masih menjalankan tugas rasmi bagi pihak negara dan institusi diraja.
“Dengan status tersebut, pasangan ini mempunyai kebebasan dalam urusan kewangan serta hak untuk menjaga privasi mereka seperti yang dikehendaki, dan perkara itu akan terus dihormati sepenuhnya,” menurut surat berkenaan.
Sehubungan itu, tiada perubahan terhadap status semasa Duke dan Duchess Sussex.
“Ringkasnya, kedudukan mereka adalah seperti rakyat awam biasa yang mempunyai kepentingan dalam bidang komersial dan kebajikan,” menurut surat itu lagi.
Kerja kebajikan yang dilakukan Putera Harry dan Meghan dianggap urusan peribadi mereka dan dilaksanakan atas kapasiti persendirian.
Putera Harry bersama keluarganya kembali semula ke Britain pada akhir bulan lalu, enam tahun selepas mereka meninggalkan tugas diraja dan berpindah ke Amerika Syarikat (AS).
Pasangan itu berhijrah ke AS pada 2020 selepas berundur daripada tugas rasmi diraja bagi membina kerjaya secara bebas.
Bagaimanapun, mereka terus menjadi perhatian media selepas Harry mendakwa keluarga diraja mengabaikannya, akhbar tabloid memusnahkan kehidupannya dan kerajaan gagal menyediakan tahap keselamatan mencukupi untuk membolehkannya kembali ke negara itu. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






