Oleh: Rahimi Hashim@IMedikel TV
CAMERON HIGHLANDS: Seramai 14 Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negeri berpeluang mengikuti program lawatan ke Taman Eko Rimba (TER) Mossy Forest, di sini semalam.
Turut sama pada program kira-kira dua jam bermula 9 pagi itu seramai 13 Timbalan Yang Dipertua Parlimen, Dewan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri.
Pegawai Hutan Daerah Cameron Highlands, Nasrul Akmal Amaludin, berkata kira-kira 200 individu terbabit pada program berkenaan dan mereka diberi peluang mendaki ke kemuncak Mossy Forest yang berada di ketinggian 2,031 meter dari aras laut terletak dalam Hutan Simpan Batu Gangan Tambahan.
Menurutnya, pelantar atau laluan pejalan kaki kayu (boardwalk) yang ada memudahkan lagi delegasi terbabit berjalan sambil melihat kawasan hutan berlumut yang begitu unik dan menarik.
“Kita turut memberi peluang kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Speaker DUN Pahang dan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man melekatkan sejenis orkid liar pada dahan pokok yang berada ditepi dilaluan pejalan kaki.
“Kunjungan rombongan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Speaker Dewan Negeri, Timbalan Yang Dipertua Parlimen, Dewan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri diharap dapat memperkenalkan lagi sektor pelancongan tanah tinggi di TER Mossy Forest yang kini telah terkenal dikalangan pelancong tempatan dan luar negara,” katanya.
Beliau berkata delegasi berkenaan menyertai acara itu sempena Program Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia Tahun 2026 di daerah ini.

“Kunjungan ke TER Mossy Forest yang berada dibawah selian Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands diketuai Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Tuan rumah diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin.
“Setiap mereka diiringi pegawai pengiring terdiri daripada pegawai Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang,” katanya.
Katanya TER Mossy Forest menerima kehadiran seramai 9,197 pelancong dalam tempoh lapan bulan tahun ini.
Beliau berkata, pelbagai kemudahan disediakan kepada pelancong yang datang ke TER Mossy Forest, mereka yang datang ke Cameron Highlands seolah tidak lengkap sekiranya tidak berkunjung ke TER Mossy Forest termasuk Sungai Palas, tapak perkhemahan Sungai Pauh dan Parit Falls Campsite.
IMedikel TV






