Home Buletin Semasa JKDM KELANTAN RAMPAS 279 KG SYABU BERNILAI HAMPIR RM9 JUTA

JKDM KELANTAN RAMPAS 279 KG SYABU BERNILAI HAMPIR RM9 JUTA

254
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mematahkan cubaan penyeludupan dadah dengan rampasan terbesar tahun ini membabitkan 279.04 kilogram dadah jenis syabu bernilai RM8.9 juta di Kampung Banggol, Rantau Panjang pada 19 Ogos lalu.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long, berkata serbuan dijalankan kira-kira jam 12.30 tengah hari berdasarkan maklumat orang awam mengenai sebuah kenderaan MPV jenis Perodua Alza yang ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan berkunci tanpa pemandu.

“Hasil pemeriksaan, pasukan menemui lapan bungkusan mengandungi 258 paket berisi serbuk kristal dipercayai syabu di bahagian tengah tempat duduk penumpang belakang dan bonet belakang kenderaan tersebut.

“Lokasi kenderaan itu ditemui hanya berjarak dua kilometer dari kawasan pangkalan haram di Rantau Panjang dan kesemua dadah berkenaan disyaki dibawa masuk dari negara jiran,” katanya pada sidang media di pejabat penguatkuasa JKDM Kelantan, di sini, hari ini.

Menurutnya modus operandi sindiket tersebut adalah dengan menggunakan kenderaan persendirian untuk mengangkut dadah bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata dadah tersebut dipercayai untuk pasaran di luar Kelantan.

Katanya kenderaan dan kesemua bahan terlarang berkenaan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan,”katanya.

Beliau berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Dalam perkembangan lain Wan Jamal Abdul Salam berkata JKDM Kelantan turut merampas pelbagai jenis barang seludup lebih RM50.2 juta membabitkan 958 kes sejak Januari hingga Ogos tahun ini.

“Sehingga 31 Ogos, sebanyak 27 kes dadah diperolehi dengan nilai sebanyak RM21.2 juta berbanding tempoh sama pada tahun lalu iaitu sebanyak 12 kes dengan nilai sebanyak RM105,601. Peningkatan kes dadah ini sebanyak 99.5 peratus.

“Manakala rampasan rokok bernilai RM2.19 juta dan ayam sejuk beku RM2.11 juta,”katanya.

Beliau menggesa orang ramai untuk membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya dadah, rokok, minuman keras, mercun, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here