Home Buletin Semasa KPT UTAMAKAN ASPEK KESELAMATAN KAMPUS SUSULAN INSIDEN LETUPAN

KPT UTAMAKAN ASPEK KESELAMATAN KAMPUS SUSULAN INSIDEN LETUPAN

273
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) merakamkan ucapan takziah dan dukacita kepada keluarga mangsa yang maut serta mendoakan kesembuhan buat sembilan individu lain yang cedera, termasuk empat pelajar, dalam insiden letupan ketika kerja penyelenggaraan sistem pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara, pada pagi Isnin.

Menurut kenyataan KPT, kementerian memandang serius kejadian berkenaan dan sudah mengarahkan pihak universiti terbabit supaya menjalankan pemeriksaan keselamatan segera ke atas semua kemudahan kampus bagi memastikan tiada risiko kepada warga universiti.

“Selain itu, kawasan terjejas hendaklah disahkan selamat oleh pihak berkuasa sebelum dibenarkan digunakan semula,” menurut kenyataan media kementerian semalam.

KPT turut mengarahkan pihak universiti menyediakan sokongan kebajikan menyeluruh kepada semua mangsa terbabit, termasuk bantuan perubatan dan sokongan psikososial.

Dalam pada itu, kementerian menegaskan komitmen berterusan untuk memastikan tahap keselamatan dan kesejahteraan warga di semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) sentiasa terjamin melalui pematuhan standard keselamatan, pelaksanaan penyelenggaraan berkala serta kerjasama erat dengan agensi berkaitan.

Sementara itu, pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden tersebut dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“KPT akan terus memantau perkembangan insiden tersebut dan tidak akan berkompromi dalam aspek keselamatan demi memastikan persekitaran kampus yang selamat dan kondusif supaya kesejahteraan warga pendidikan tinggi terus terjamin,”jelas kenyataan itu.

Terdahulu media melaporkan satu kejadian letupan di kawasan penyelenggaraan pendingin hawa di universiti swasta itu kira-kira jam 11.40 pagi, pada Isnin.

Media turut melaporkan seorang lelaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala sembilan yang lain cedera dalam kejadian letupan gas pendingin hawa di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here