Home Buletin Semasa STR FASA 1 2026 DISALURKAN BERMULA 20 JANUARI

STR FASA 1 2026 DISALURKAN BERMULA 20 JANUARI

204
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

PUTRAJAYA: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 Tahun 2026 akan disalurkan bermula 20 Januari ini, dengan peruntukan berjumlah RM1.1 bilion bagi memanfaatkan 3.7 juta isi rumah dan 1.3 juta warga emas tiada pasangan.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Perutusan Tahun Baharu 2026 pada 5 Januari lalu. Bagi fasa pertama ini, penerima layak akan menerima bantuan antara RM100 hingga RM500 mengikut kategori kelayakan masing-masing.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan semalam memaklumkan, penyaluran STR 2026 dilaksanakan selaras usaha Kerajaan MADANI untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat secara lebih berkesan menerusi penstrukturan semula pemberian STR dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

“Lebih 8 juta rakyat layak menerima bantuan SARA secara bulanan, termasuk 400,000 golongan miskin dan miskin tegar yang tersenarai dalam pangkalan data eKasih, sekali gus menjadikan SARA sebagai bantuan asas berterusan kepada rakyat.

“STR pula diberikan sebagai bantuan tambahan secara suku tahunan, disasarkan kepada isi rumah dan warga emas tiada pasangan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan, termasuk golongan miskin dan miskin tegar berdaftar dengan eKasih, menurut kenyataan itu.

Pendekatan bersepadu ini, jelas kementerian, memastikan bantuan bersasar dapat disalurkan dengan lebih teratur, stabil dan berkesan, di samping memberi sokongan kewangan tambahan ketika tempoh keperluan tinggi seperti musim perayaan.

Peruntukan keseluruhan STR dan SARA bagi tahun 2026 mencecah RM15 bilion, kekal tertinggi dalam sejarah Kerajaan Persekutuan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata Kerangka Ekonomi MADANI bertujuan meningkatkan lantai kehidupan rakyat agar keperluan asas dapat dipenuhi, sekali gus membolehkan pertumbuhan ekonomi negara dipacu secara lebih mampan dan inklusif.

Bagi mengurangkan risiko keciciran, permohonan baharu serta rayuan STR dibuka sepanjang tahun melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my, selain soalan lazim (FAQ) turut disediakan bagi memudahkan rujukan orang ramai. Status pengkreditan dan maklumat berkaitan SARA pula boleh disemak melalui portal rasmi https://sara.gov.my.

Kelayakan STR ditentukan berdasarkan had pendapatan yang ditetapkan, dengan setiap permohonan melalui proses semakan dan verifikasi bersama pelbagai agensi kerajaan. Bagi pemohon baharu, semakan berkala setiap suku tahun turut melibatkan pemilikan kediaman, kenderaan, perniagaan serta rekod bekerja atau menetap di luar negara.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan mengingatkan semua pemohon supaya memberikan maklumat yang tepat dan benar. Tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya didapati wujud maklumat palsu, selain kerajaan berhak menarik balik bantuan yang diluluskan jika berlaku ketidakpatuhan.

Orang ramai juga dinasihatkan agar berwaspada terhadap pautan palsu dan cubaan penipuan.

“Sebagai langkah keselamatan, MOF tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan penerima disaran merujuk hanya kepada portal rasmi STR bagi sebarang maklumat terkini,”katanya.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here