Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
Ramai yang mengambil mudah berkenaan kesihatan gigi terutamanya apabila menggosok gigi.
Sebenarnya bukan sahaja kanak-kanak yang bermalasan untuk gosok gigi malah ada juga dalam kalangan dewasa yang malas untuk menggosok gigi.
Bagi meningkatkan kesedaran berkaitan kesihatan gigi, kami akan berkongsi cara penjagaan gigi yang paling asas yang disyorkan para doktor.
Menurut portal hellodoktor amalan penjagaan kesihatan gigi yang betul dan konsisten bukan sahaja dapat melindungi gigi dan gusi kita daripada pelbagai penyakit, malah ia juga dapat membuat kita tampil dengan penuh keyakinan apabila berhadapan dengan orang lain.
Jom kita baca penjagaan gigi:
1. Berus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari

- Berus gigi anda sekurang-kurangnya dua kali sehari selama dua minit.
- Apabila anda memberus gigi, letakkan berus gigi anda pada sudut 45 darjah ke arah gusi anda. Cara ini dapat membantu menyapu plak dan bakteria pada garis gusi anda.
- Pastikan juga anda memberus semua permukaan gigi, termasuk bahagian belakang dan sisi gigi anda.
2. Flos gigi

- Gigi tidak dapat dibersihkan dengan hanya memberus sahaja kerana terdapat juga plak yang terlekat di celahan gigi yang sukar dibersihkan. Untuk membersihkan kawasan ini, anda memerlukan flos gigi.
3. Memberus lidah

- Membersihkan lidah setiap kali memberus gigi dapat meningkatkan kesihatan gusi dan gigi anda. Malah, ia juga dapat mencegah masalah nafas berbau.
4. Ubat kumur antibakteria

- Gunakan ubat kumur antibakteria setiap hari. Amalan penjagaan kesihatan gigi dengan menggunakan pencuci mulut antibakteria dapat membantu menyingkirkan plak dan membersihkan kawasan yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi.
5. Lakukan pemeriksaan doktor gigi

- Jangan tunggu sehingga anak anda mengalami kerosakan gigi untuk berjumpa dengan doktor, tetapi sebaliknya bawalah mereka untuk pemeriksaan gigi secara berkala sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.
IMedikel TV






