Oleh: Afrizam Arif@IMedikel TV
KOTA BHARU: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas enam botol minuman keras, produk kosmetik, perubatan serta makanan bernilai RM165,500 yang cuba diseludup masuk ke Malaysia secara haram dari Thailand, semalam.
AKPS berkata rampasan dijalankan sepasukan anggota di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang pada 5.15 petang.

“Anggota telah memeriksa seorang lelaki warganegara Malaysia dan kereta jenis Honda Civic bernombor pendaftaran Malaysia.
“Antara barang rampasan lain adalah pelbagai jenis produk kosmetik, perubatan dan makanan dengan jumlah anggaran nilai rampasan sebanyak RM165,500,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelasnya barang rampasan termasuk kereta telah diserahkan kepada Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Kelantan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Katanya kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.
IMedikel TV






