BOLOGNA: Tuan rumah, Itali kekal dalam pada landasan untuk merangkul kejuaraan hatrik Piala Davis dengan kemenangan meyakinkan ke atas Austria di Bologna, awal pagi tadi, sekali gus akan menghadapi pertembungan separuh akhir menentang Belgium.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, walaupun tanpa pemain utama Jannik Sinner dan Lorenzo Musetti, pemain Itali terlalu kuat di hadapan penyokong sendiri dengan kemenangan perseorangan daripada Matteo Berrettini dan Flavio Cobolli.
Bekas naib juara Wimbledon, Berrettini turun di Supertennis Arena menentang Jurij Rodionov dan selepas menghadapi kesukaran pada set kedua, beliau menang 6-3 7-6(4).
Cobolli kemudian menewaskan Filip Misolic 6-1 6-3 untuk menamatkan tugas.
Berrettini memenangi semua enam perlawanan Piala Davis untuk Itali pada 2024 ketika mereka mempertahankan gelaran dan kapten, Filippo Volandri menaruh kepercayaan kepada pemilik servis padu itu sekali lagi, awal pagi tadi.
Set pertama cukup selesa untuk Berrettini menyelesaikan tugasan dengan mudah.
Satu gangguan dengan pencahayaan di dalam arena menyebabkan set kedua dihentikan seketika dan apabila permainan disambung, Rodionov yang mula mendapat rentak dengan memecahkan servis buat pertama kali.
Rodionov, yang berada di ranking ke-177 dunia mendahului 5-3, tetapi beberapa kesilapan tidak kemas membolehkan Berrettini bangkit semula.
Berrettini kemudian ketinggalan 0-40 dalam permainan seterusnya tetapi berjaya keluar daripada kesukaran dengan servisnya untuk kembali seimbang.
Cobolli pula hanya memerlukan lebih sejam untuk memastikan Itali ke separuh akhir, esok.
Belgium yang berusaha untuk memenangi kejohanan buat pertama kali, menempah tempat dalam separuh akhir dengan kemenangan 2-0 ke atas Perancis, semalam. – REUTERS, HMetro Online –
IMedikel TV






