Home Buletin Semasa 180 PANGKALAN HADAPAN BENCANA LENGKAP RANGKAIAN LOGISTIK

180 PANGKALAN HADAPAN BENCANA LENGKAP RANGKAIAN LOGISTIK

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebanyak 180 pangkalan hadapan bencana di seluruh Kelantan kini lengkap dengan rangkaian logistik termasuk bekalan makanan asas dan barangan kering sebagai persediaan awal menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang boleh berlaku pada bila-bila masa.

Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Datuk Rohani Ibrahim, berkata penempatan bekalan itu bertujuan memastikan bantuan kepada penduduk terjejas dapat dihantar segera sekiranya berlaku banjir atau laluan utama terputus.

“Keseluruhan barangan asas termasuk gula, garam, beras, susu, biskut dan pelbagai keperluan lain berjumlah RM3 juta.

“Dengan penempatan awal ini, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) boleh dibuka dengan cepat untuk menerima mangsa banjir, sekali gus mengelakkan sebarang gangguan bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penyampaian Insentif Khas Taska Swasta 2025 di Kota DarulNaim, di sini, pada Khamis.

Beliau menjelaskan, terdapat satu depot utama di negeri ini, manakala 19 mini depot berbentuk kontena bagi menampung bekalan.

“Mini depot ini akan membekalkan bekalan ke pangkalan hadapan bencana berhampiran PPS,”tambahnya.

Katanya, seramai 10 hingga 15 petugas dapur yang divaksin tifoid ditempatkan di setiap PPS untuk memasak secara bergotong-royong, memastikan mangsa banjir mendapat makanan segera.

Dalam majlis sama, Datuk Rohani turut menyampaikan insentif kepada 41 pengusaha dan pemilik taska di seluruh negeri dengan jumlah keseluruhan RM205,000.

Beliau berkata bantuan itu disalurkan dalam bentuk barangan asas taska yang merangkumi peralatan pendidikan awal, kebersihan, keselamatan dan keperluan operasi, serta bantuan baik pulih termasuk penyelenggaraan asas.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here