GAZA: Puluhan orang terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza, semalam, walaupun Presiden Amerika Syarikat (AA), Donald Trump menuntut Israel menghentikan serta-merta kempen pengebomannya.
Tuntutan itu dibuat selepas Hamas mengisytiharkan kesediaan untuk membebaskan tebusan di bawah pelan damai Trump bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan selama dua tahun.
Menerusi platform Truth Social, Trump mendedahkan Israel bersetuju dengan “garisan pengunduran awal” dan gencatan senjata akan berkuat kuasa serta-merta sejurus Hamas memberikan pengesahan.
Memetik laporan Reuters menerusi Harian Metro, bagaimanapun, pegawai kesihatan tempatan melaporkan sekurang-kurangnya 36 orang terbunuh di wilayah Palestin itu, sejak Trump mula mendesak Israel menghentikan serangannya pada lewat Jumaat.
Seramai 18 mangsa termasuk kanak-kanak terkorban dalam satu serangan ke atas sebuah rumah di kawasan Tuffah di Bandar Gaza, yang turut merosakkan beberapa bangunan berdekatan.
Tentera Israel dalam kenyataannya berkata, ia menyasarkan seorang pejuang Hamas yang menjadi ancaman dan sedang menyemak laporan mengenai kematian orang awam.
Hamas pula menyifatkan serangan yang berterusan itu sebagai bukti pembohongan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang sebelum ini mendakwa akan mengurangkan operasi ketenteraan terhadap orang awam.
Dalam perkembangan berasingan, rundingan gencatan senjata dijadualkan bermula di Mesir minggu depan dengan utusan khas Trump, Steve Witkoff dan Jared Kushner dijangka hadir.
Netanyahu berkata, fasa pertama pelan itu membabitkan penempatan semula tentera Israel sambil mengekalkan kawalan penuh ke atas kawasan strategik di dalam Gaza.
Katanya, beliau berharap dapat mengumumkan kepulangan tebusan semasa cuti perayaan Yahudi, Sukkot yang berlangsung dari 6 Oktober hingga 13 Oktober ini.
Menurut Netanyahu, fasa kedua pelan damai Trump itu akan menyaksikan Hamas dilucutkan senjata dan Gaza dinyahtentera sama ada melalui proses politik atau ketenteraan.
Netanyahu kini terperangkap antara tekanan keluarga tebusan dan tuntutan daripada anggota gabungan kerajaannya yang berhaluan kanan, yang mendesak kempen ketenteraan di Gaza diteruskan. -Reuters, HMetro Online-
IMedikel TV






