Home Luar Negara GRETA THUNBERG DITEMPATKAN DALAM SEL PENUH PEPIJAT – PEGUAM

GRETA THUNBERG DITEMPATKAN DALAM SEL PENUH PEPIJAT – PEGUAM

301
0

LONDON: Aktivis alam sekitar, Greta Thunberg, mendakwa beliau dikenakan layanan buruk dalam tahanan Israel selepas ditahan dari sebuah bot yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, lapor The Guardian.

Menurut surat-menyurat dilihat The Guardian, Thunberg memberitahu pegawai Sweden bahawa beliau ditempatkan di dalam sel yang dipenuhi pepijat serta tidak menerima makanan dan air yang mencukupi.

Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, seorang tahanan lain turut melaporkan kepada pihak kedutaan bahawa mereka melihat Thunberg dipaksa memegang bendera semasa gambarnya diambil oleh tentera Israel.

Dakwaan itu dikuatkan lagi oleh dua aktivis lain yang sudah dibebaskan yang mendedahkan Thunberg turut didera secara fizikal.

“Mereka mengheret Greta dengan rambutnya di hadapan mata kami, memukulnya dan memaksanya mencium bendera Israel,” kata aktivis Turkiye, Ersin Celik.

Seorang lagi saksi, wartawan Lorenzo D’Agostino, berkata Thunberg “dibalut dengan bendera Israel dan diarak seperti trofi.”

Thunberg adalah antara 437 aktivis, ahli parlimen dan peguam dari seluruh dunia yang menyertai GSF untuk cuba memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Kesemua mereka ditahan selepas tentera Israel memintas lebih 40 kapal bantuan antara Khamis dan Jumaat lalu.

Kebanyakan mereka kini ditempatkan di Ketziot, sebuah penjara kawalan maksimum di gurun Negev.

Dalam satu rakaman video, Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, dirakam menggelar aktivis yang ditahan itu sebagai “pengganas”.

Pasukan peguam yang mewakili flotila itu mengesahkan bahawa tahanan dibiarkan berjam-jam tanpa makanan atau air selain dinafikan akses kepada wakil undang-undang mereka.

Ini adalah kali kedua Thunberg ditahan dalam misi flotila ke Gaza, selepas percubaan sama awal tahun ini turut berakhir dengan penahanan dan pengusiran.

Kedutaan Israel dalam satu kenyataan balas menafikan semua tuduhan itu dan menyifatkannya sebagai “pembohongan semata-mata.”

Semua tahanan dari provokasi Hamas-Sumud diberi akses kepada air, makanan dan tandas, mereka tidak dinafikan akses kepada peguam, dan semua hak undang-undang mereka termasuk akses kepada rawatan perubatan, dipatuhi sepenuhnya. -Agensi, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here