KUALA LUMPUR: Penyanyi Zizi Kirana, 40, kembali mengemas kini media sosialnya dengan memuat naik foto di Instagram Story (IGs) yang disertakan ucapan ‘Alhamdulillah’.
Memetik laporan Harian Metro, meninjau sama ada hantaran lain juga dimuat naik oleh Zizi, dia berkongsi hantaran Cinta Salam Malaysia di Instagram (IG) yang memaparkan video peserta misi Global Sumud Flotilla (GSF) ketika tiba di Istanbul, Turkiye.
Pada kapsyen video ditulis, Cinta Salam Malaysia berasa kagum dan menyifatkan semangat juang peserta misi GSF tidak pernah luntur dan terus bercakap mengenai Gaza.
“Walaupun baru sahaja dibebaskan dari penjara kejam Zionis, semangat mereka untuk memperjuangkan Palestin tidak pernah luntur, malah semakin membara.
“Tiada apa yang mampu mematahkan tekad kita selagi Palestin belum benar-benar merdeka, walaupun terpaksa merisikokan nyawa sendiri. Allahuakbar,” tulisnya.
Rata-rata komen netizen mendoakan kesemua pejuang misi GSF dari Malaysia itu dalam keadaan sihat dan pulang ke tanah air bertemu semula bersama keluarga dengan selamat.
“Alhamdulillah, baliklah kami tak sabar nak dengar cerita,” komen netizen.
“Semangat membara. Cepatlah balik Malaysia,” kata warganet.
“Alhamdulillah, dah balik dah kak Zizi Kirana. Amin,” tulis seorang pengikut Zizi.
Pada Khamis lalu, Zizi yang menaiki kapal Huga bersama beberapa sukarelawan GSF dari negara lain dipintas dan ditahan tentera Israel di perairan antarabangsa.
Seramai 23 pejuang misi GSF dari Malaysia ditahan tentera Israel dan dibawa ke penjara sebelum kesemuanya dibebaskan. semalam dan dibawa keluar dari Gaza ke Istanbul, Turkiye.
Petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kesemua 23 aktivis itu dibebaskan dan kumpulan terbabit dilaporkan bergerak ke Lapangan Terbang Ramon di selatan Israel untuk ke Turkiye.
Kumpulan aktivis Malaysia berkenaan kemudian menaiki pesawat khas dari Turkiye yang menerbangkan mereka ke Istanbul dan difahamkan akan tiba di tanah air pada malam ini atau esok. -HMetro Online-
IMedikel TV






