KUALA LUMPUR: Suami kepada penyanyi dan pelakon Nur Heliza Helmi, Mahadi Badrul Zaman bersyukur di atas pembebasan isterinya dan pejuang Global Sumud Flotilla (GSF) dari Malaysia yang kini sudah berada di Istanbul, Turkiye.
Memetik laporan Harian Metro, mahadi menerusi hantaran di Instagram (IG) mengucapkan selamat pulang wira ummah dan menyifatkan kepulangan ini bukan untuk berehat, tetapi pulang untuk menyedarkan masyarakat dunia.
“Alhamdulillah, mereka telah pulang. Bukan sekadar dari perjalanan fizikal, tapi dari misi hati dan iman.
“Terima kasih kerana membawa semangat Gaza ke tanah air. Anda semua hero kami,” katanya.
Sementara itu, pada hantaran dimuat naik di Instagram Story (IGs) pula, Mahadi berasa gembira dengan khabar dari bumi Turkiye yang diterimanya.
“Pondati (Nurheliza Helmi) dan seluruh team misi selamat tiba, setelah melalui perjalanan yang panjang dan penuh ujian. Allah beri ruang dua hari untuk mereka berehat, bersihkan diri dan kuatkan semula semangat sebelum kembali ke tanah air tercinta.
“Setiap langkah mereka adalah doa kita semua. Setiap titis air mata mereka, saksi cinta kepada saudara seagama di bumi Palestin.
“Terima kasih atas doa dan sokongan yang tak pernah putus. Allah sebaik-baik pelindung. Doakan terus ya,” katanya.
Pada Khamis lalu, Nur Heliza bersama semua peserta misi GSF dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan berupa makanan, ubat-ubatan, susu, pakaian dan sebagainya untuk rakyat Palestin dikepung tentera Israel di perairan antarabangsa.
Kesemua lebih 400 peserta misi GSF itu ditangkap tentera Israel dan dibawa ke penjara sebelum mereka dibebaskan, semalam dan diarahkan keluar serta-merta dari Gaza.
Tindakan pantas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya membawa pulang kira-kira 23 sukarelawan Malaysia yang menyertai GSF untuk pulang ke tanah air.-HMetro Online-
IMedikel TV






