Home Buletin Semasa KECEWA TAK DAPAT SAKSI PERARAKAN KERETA BERHIAS AKIBAT JALAN SESAK

KECEWA TAK DAPAT SAKSI PERARAKAN KERETA BERHIAS AKIBAT JALAN SESAK

360
0

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Kemeriahan perarakan 17 kereta berhias di pusat bandar Kota Bharu malam tadi sedikit tercalar apabila sebahagian pengunjung kecewa kerana tidak berpeluang menyaksikan acara itu dari jarak dekat berikutan kesesakan lalu lintas dan penutupan jalan.

Lebih 50,000 pengunjung dilaporkan membanjiri kawasan sekitar laluan utama bagi menyaksikan perarakan yang penuh warna-warni dan sarat dengan elemen budaya itu.

Bagaimanapun, jumlah kehadiran yang luar biasa menyebabkan jalan utama sesak teruk, malah ada pengunjung terpaksa berpatah balik selepas lebih sejam terperangkap dalam trafik.

Bagi Tengku Haiman Tengku Utama, 30, kehadirannya bersama keluarga malam tadi agak mengecewakan apabila tidak dapat melihat perarakan yang dinantikan sejak sekian lama.

“Dah lama tidak tengok kereta berhias. Tetapi kali semalam jalan sesak sangat, sampai tak sempat tengok pun,” katanya.

Tengku Haiman berkata dia turun dari rumah di Pasir Mas seawal jam 6.30 petang.

“Saya agak kecewa kerana tidak sempat melihat perarakan kereta berhias kerana kesesakan lalu lintas.

“Bagaimanapun, saya berharap Kerajaan Negeri akan mengekalkan tradisi perarakan kereta berhiasa di masa akan datang,”katanya.

Seorang lagi pengunjung, Zainora Rameli, 34, dari Kampung Galok, Pasir Mas tetap teruja meskipun terpaksa menempuh kesesakan bersama keluarga.

“Seronok dan meriah. Lama dah tak tengok perarakan macam ni, dulu masa kecil ayah bawa, sekarang saya pula bawa anak-anak,”katanya.

Menurut Zainora sebelum itu dia ke Pesta Flora di Taman Perbandaran Tengku Anis selepas asar sebelum mereka sekeluarga menyaksikan perarakan kereta berhias malam tadi.

Turut berkongsi pengalaman, Intan Nor Shazlinda Mazlan, 40, yang datang bersama suami Muhahdir Ibrahim 43, dari Kampung Lemal, Pasir Mas berkata anak-anaknya sangat teruja dapat melihat perarakan itu buat kali pertama.

“Anak-anak saya umur dua dan 11 tahun pertama kali menyaksikan perarakan kereta berhias. Mereka seronok sangat sebab tidak pernah tengok kereta berhias sebelum ini.

“Sudah lama saya tidak menyaksikan kereta berhias, dulu masa kecil pernah tengok. Memang sangat meriah suasana malam tadi, ribuan orang datang semata-mata untuk melihat perarakan,”katanya.

Intan Nor Shazlinda memaklumkan mereka sekeluarga berangkat dari rumah seawal jam 4.45 petang, namun jalan sudah mulai sesak dan banyak kenderaan terpaksa diletakkan di tepi jalan.

“Kereta berhias sampai lebih kurang jam8.00 malam. Walaupun jalan ditutup sehala dan ramai sangat orang, rasa puas hati sebab suasana begini sudah lama sangat tidak ada di Kota Bharu,”katanya.

Walaupun ada yang pulang hampa, suasana di sekitar bandar Kota Bharu tetap meriah dengan pancaran lampu pelbagai warna serta sorakan pengunjung yang sempat menyaksikan perarakan itu dari tepi jalan menggamit semula kenangan tradisi yang sudah lama tidak diadakan di Kota Bharu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here