NEW DELHI: Pihak berkuasa India menyiasat kemungkinan sirap batuk yang tercemar menyebabkan kematian sembilan kanak-kanak selepas satu kumpulan pengeluaran ubat itu didapati mengandungi bahan kimia toksik tahap berbahaya.
Memetik laporan REUTERS menerusi Berita Harian Kementerian Kesihatan India berkata sampel Sirap Batuk Coldrif, yang dikeluarkan oleh Sresan Pharma di negeri selatan Tamil Nadu, telah diuji oleh pihak berkuasa negeri dan didapati mengandungi diethylene glycol (DEG) pada tahap berbahaya.
“Sampel didapati mengandungi DEG melebihi had yang dibenarkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
DEG, merupakan pelarut toksik yang digunakan dalam produk dan telah dikaitkan dengan keracunan maut di beberapa negara.
Kenyataan itu dibuat selepas laporan media mencadangkan kematian sembilan kanak-kanak di negeri tengah Madhya Pradesh baru-baru ini mungkin ada kaitan dengan pengambilan ubat batuk.
Pentadbiran Makanan dan Dadah Madhya Pradesh (MPFDA) turut menganalisis tiga daripada 13 sampel dikumpul, yang didapati bebas daripada pencemaran, kata kenyataan kementerian itu.
Bagaimanapun, pengawal selia dadah Tamil Nadu kemudiannya mengesahkan pencemaran DEG dalam sampel yang diambil terus dari tapak pembuatan Sresan Pharma di Kanchipuram, katanya.
Sresan Pharma tidak segera menjawab permintaan untuk komen yang dihantar melalui e-mel.
Pihak berkuasa telah melancarkan pemeriksaan ke atas 19 pengilang ubat di enam negeri untuk mengenal pasti kelemahan kawalan kualiti dan mengesyorkan penambahbaikan untuk mencegah tragedi berulang, kata kementerian itu.
Kualiti eksport farmaseutikal India dipertikai susulan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengaitkan sirap batuk yang dibuat oleh syarikat lain di sana dengan kematian 70 kanak-kanak di Gambia pada 2022.
Laporan itu bagaimana pun dipertikaikan oleh New Delhi. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






