Home Luar Negara ANTONELLI AKUI MERCEDES BUKAN LAGI JENTERA TERPANTAS

ANTONELLI AKUI MERCEDES BUKAN LAGI JENTERA TERPANTAS

London: Walaupun Mercedes mendahului kedudukan pasukan F1 dan memiliki dua pelumba teratas dalam klasifikasi individu, prinsipal pasukan, Toto Wolff, bersuara mengenai jurang peruntukan kewangan berbanding pencabar utama mereka.

Memetik laporan AFP Menerusi Harian Metro, Selepas menamatkan saingan di tempat kedua dalam kedudukan pasukan 2025, gandingan pelumba Mercedes, Kimi Antonelli dan George Russell, memenangi enam perlumbaan pertama pada 2026 serta lapan daripada 10 perlumbaan pembukaan musim ini.

McLaren yang menjuarai kejuaraan pengeluar 2025, gagal memenangi mana-mana daripada 10 perlumbaan pertama musim ini sebelum juara F1 2025, Lando Norris memenangi dua perlumbaan terakhir buat pasukan itu di Hungary dan Belanda, sekali gus merentasi tempoh rehat pertengahan musim F1.

Pasukan Ferrari yang dibarisi juara F1 tujuh kali, Lewis Hamilton, memenangi dua perlumbaan lain ketika Mercedes gagal menduduki tempat teratas, masing-masing di Sepanyol dan Great Britain.

Ferrari kini berada di tempat kedua kedudukan pengeluar ketinggalan 87 mata di belakang Mercedes.

Kebangkitan McLaren dan Ferrari hadir susulan pakej naik taraf besar yang menghidupkan semula kempen kedua-dua pasukan. Wolff berkata Mercedes tidak mampu menandingi peningkatan berkenaan.

“Kami tidak mempunyai wang untuk membawa pembangunan baharu pada jentera. Saya sudah mengatakannya sebelum ini, kami cuba membahagikannya secara sama rata sepanjang musim, berdasarkan pengiraan kami mengenai bila kami boleh membawa naik taraf terbesar dan mengoptimumkan kutipan mata kejuaraan. Kami tidak boleh melakukan perkara yang kami tidak mampu lakukan.

“Itulah sebabnya ini adalah perlumbaan pembangunan. Jika anda membawa naik taraf, setiap pasukan teratas akan memperoleh sekurang-kurangnya beberapa persepuluh saat dan itulah yang anda hilang. Jadi, ya, perjalanan ini sedikit lebih sukar berbanding awal tahun.”

Pelumba Mercedes, Antonelli yang memenangi enam perlumbaan musim ini dan kini mendahului kedudukan F1, tidak menyembunyikan perasaannya selepas menduduki tempat kedua dalam Grand Prix Belanda pada Ahad.

“Kami jelas bukan lagi jentera terpantas di grid. Kami mungkin berada di tempat kedua atau ketiga. McLaren pula membuat lonjakan besar, terutama sejak Hungary, selepas pakej naik taraf besar yang mereka bawa,” kata Antonelli yang genap 20 tahun pada Selasa lalu.-AFP, HMetro Online-

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here