Home Buletin Semasa MOTOSIKAL BERTEMBUNG LORI, DUA MAUT 

MOTOSIKAL BERTEMBUNG LORI, DUA MAUT 

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori dalam kemalangan di hadapan Pasar Segar Kampung Paya Lada, Kadok, Ketereh, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu, kedua-dua mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda Wave disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri berkata, kemalangan berlaku ketika sebuah lori jenis Inokom dipandu lelaki berusia awal 40-an dari arah Kota Bharu menghala ke Ketereh.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan dipercayai sedang bergerak lurus di laluan yang sah sebelum motosikal Honda Wave dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya.

“Bagaimanapun, motosikal berkenaan gagal memasuki semula laluannya sebelum bertembung dengan bahagian hadapan lori dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mohd Azmir berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang dan pembonceng motosikal terbabit meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk bedah siasat,”katanya.

Katanya, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Syarafuddin Ramlee di talian 09-775 2315.

Dalam pada itu, polis menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu, selain mematuhi undang-undang serta isyarat lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here