Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Lebih 50,000 pengunjung membanjiri Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi bagi menyaksikan perarakan kereta berhias penuh gilang-gemilang sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang ke-56.
Sebanyak 17 kereta berhias mewakili pelbagai pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan negeri dan persekutuan mengambil bahagian dalam perarakan sejauh dua kilometer yang bermula dari Kompleks Kota Darulnaim sebelum berakhir di Stadium Sultan Muhammad IV.

Suasana di sekitar stadium berubah menjadi lautan manusia apabila ribuan pengunjung menyaksikan keunikan persembahan yang turut disertai Pasukan Bergajah, Pasukan Berkuda diiringi 56 hulu balang, 10 beca berhias serta kumpulan motosikal berkuasa tinggi Kelantan.
Menariknya, acara perarakan kereta berhias itu kembali mewarnai sambutan kali ini selepas lebih sedekad tidak diadakan, menjadikan ia antara detik paling dinanti-nantikan rakyat negeri ini.
Perarakan berkenaan turut menjadi acara kemuncak sambutan pemasyhuran ulang tahun keputeraan Sultan Muhammad V yang bertemakan “Islam Dijunjung, Rakyat Bersatu, Negeri Berkat, Raja Berdaulat.”
IMedikel TV






