Kementerian Ekonomi menyediakan dana khas sebanyak RM40 juta untuk pengambilan 20,000 pekerja sehingga akhir 2023.
Menterinya, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media berkata, dana ini akan digunakan untuk membayar insentif penempatan pekerja, agar golongan muda tidak dibebankan dengan kos membayar deposit rumah sewa dan perpindahan dari kampung; insentif lulus kekal dalam pekerjaan dan insentif pensijilan sekiranya pelatih kekal dalam pekerjaan sehingga 18 bulan untuk menerima sijil SKM.
“Hari ini, saya menyampaikan tauliah kepada 200 syarikat pertama yang menyertai program Academy in Industry (AiI) yang membolehkan mereka mengambil pekerja tempatan untuk menggantikan pekerja asing sedia ada. Anggaran awal menunjukkan 200 syarikat pertama ini berkemampuan menyerap sehingga 20,000 golongan muda dan rentan menjadi pekerja di sektor pembuatan dan teknikal, dengan gaji bersih sekitar RM2,000 sebulan.
“Selepas pengambilan kumpulan pertama sebanyak 20,000 pelatih, program ini akan diteruskan dengan pengambilan seterusnya untuk mewujudkan kumpulan pekerja teknikal tempatan yang besar. Dengan jumlah yang besar, kerajaan akan meningkatkan tahap pensijilan melalui kaedah kerja-latihan dari SKM hingga ke peringkat diploma dan university,”katanya dalam kenyataan itu.
Majikan pula diberikan insentif latihan bagi pelatih yang disijilkan di akhir tempoh 9 hingga 18 bulan.
Masalah peluang pekerjaan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (atau lebih dikenali sebagai “TVET”, Technical and Vocational Education Training) adalah salah satu masalah struktur ekonomi negara.
Akibat kurangnya minat daripada golongan muda untuk menyertai aliran pekerjaan ini, ia telah menyebabkan masalah berganda kepada ekonomi Malaysia, termasuk pergantungan kepada pekerja asing berkemahiran rendah dalam bidang perkilangan dan pembuatan juga masalah pengangguran dalam kalangan golongan muda.
Rafizi berkata pihak kementerian memberi tumpuan khusus untuk menyelesaikan masalah-masalah struktur ekonomi melalui kerjasama dengan Kementerian-Kementerian dan agensi-agensi yang berkaitan.
“Hari ini, saya melancarkan program AiI yang mengambil pendekatan yang berbeza daripada program-program kerajaan sebelum ini.
“AiI memberi tumpuan untuk membolehkan golongan muda dan rentan menyertai sektor pekerjaan teknikal tanpa perlu mempunyai kelayakan TVET terlebih dahulu kerana mereka akan dilatih dan disijilkan semasa bekerja melalui konsep place and train.
“Pendekatan baharu ini mengambil kira kecenderungan golongan muda yang lebih berminat untuk bekerja terus tanpa melanjutkan pelajaran selepas alam persekolahan,”katanya.
Menurutnya melalui program AiI, majikan-majikan yang memenuhi syarat (dari segi modul latihan, jenis kandungan teknikal dalam pekerjaan, dan gaji yang ditawarkan) dilesenkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK, di bawah Kementerian Sumber Manusia) untuk melatih dan mensijilkan pekerja-pekerja mereka selepas pekerja melalui tempoh kerja-latihan (on the job training) selepas 9 hingga 18 bulan bergantung kepada jenis kemahiran yang dipilih.
“Ini bermakna anak-anak muda seawal 18 tahun boleh mula bekerja dan mempunyai prospek kerjaya teknikal kerana mereka akan mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) selepas 9 hingga 18 bulan bekerja, berbanding pendekatan sedia ada yang memerlukan kelulusan kursus TVET sepenuh masa selama 24 bulan sebelum mereka boleh mencari pekerjaan,”katanya.
Beliau berkata ini akan membolehkan lepasan sekolah di masa hadapan berpeluang untuk memilih aliran pendidikan tinggi yang bersesuaian dengan kecenderungan mereka, iaitu aliran formal (pengajian sepenuh masa di institusi pengajian tinggi) atau aliran teknikal kerja-latihan (seperti yang diamalkan di negara-negara seperti Jerman).
“Saya berharap peluang ini diambil oleh golongan muda dan rentan untuk menyertai kerjaya teknikal. Permohonan untuk menyertai program AiI ini akan dibuka secara atas talian dalam tempoh 2 minggu dari sekarang,”katanya. – KEMENTERIAN EKONOMI , Malaysia Gazette –
Imedikel TV






