Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
BACHOK: Syarikat tempatan berasaskan teknologi hijau, Mensilin Green Energy Sdn Bhd berjya membangunkan inovasi Plastic-to-Fuel (PTF) yang mampu menukar sisa plastik kepada minyak diesel gred Euro 5 (EN590).
Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Ahmad Luqman Mohamad Adan, berkata melalui proses fractional de-polymerization teknologi itu mampu menghasilkan sehingga 80 peratus minyak bahan api daripada setiap satu tan sisa plastik yang diproses.
Katanya produk yang dinamakan ‘Green Diesel’ itu adalah minyak diesel berteknologi hijau berkualiti tinggi, rendah sulfur serta mempunyai nilai cetane yang tinggi sekali gus menawarkan prestasi enjin yang lebih baik serta pelepasan karbon yang lebih rendah berbanding diesel konvensional.

“Kerisauan terhadap peningkatan pencemaran sisa plastik mendorong kami untuk membangunkan produk ini.
”Kita cuba untuk menyesuaikan teknologi yang sama seperti loji tenaga biojisim (biomass power plant) dan loji stim biojisim (biomass steam plant) yang juga menggunakan sisa sebagai tenaga.
”Kita buat kajian Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) lebih kurang 14 tahun bagi menghasilkan unified grade diesel ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi panel dalam program MOSTI Tech Talks 2025 siri keenam yang bertajuk ‘Tech Startup’ di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.
Jelasnya sejak dikomersialkan, pihaknya sudah mengeluarkan diesel sebanyak 300 liter sehari.
”Setakat ini kita berjaya mengeluarkan diesel EN590 sebanyak 300 liter sehari dan kita akan tambahkan pengeluaran hasil ini kepada 10,000 liter sehari selepas mendapat kerjasama dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI),”katanya.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dalam ucapannya berkata pihaknya komited untuk terus memperkukuh ekosistem syarikat pemula negara melalui pelaksanaan Malaysia Startup Ecosystem Roadmap (SUPER) dan KL20 Action Plan.

”Usaha ini bukan sekadar melahirkan lebih ramai usahawan teknologi tempatan tetapi juga membuka ruang kepada pelaburan global dan pembangunan deep-tech yang mampu menjana pekerjaan berkemahiran tinggi serta mengukuhkan daya saing Malaysia di peringkat ASEAN dan antarabangsa,”katanya.
MOSTI Tech Talks 2025 diwujudkan sebagai platform untuk memperkukuhkan pembudayaan sains, teknologi dan inovasi (STI) melalui perkongsian idea, pengalaman dan inspirasi antara kepimpinan Kementerian, industri dan komuniti akademik.
Program itu turut dihadiri pengurusan tertinggi MOSTI, warga UMK serta lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan dan pelajar universiti.
Penganjuran itu mencerminkan komitmen MOSTI dalam memperluas capaian ilmu STI dan memupuk interaksi langsung antara kerajaan, akademia dan masyarakat tempatan.
IMedikel TV






