JAKARTA: Israel mengesahkan bahawa negara itu tidak akan menyertai Kejohanan Gimnastik Artistik Dunia di Jakarta selepas atletnya ditolak permohonan visa, sekali gus disifatkan oleh Persekutuan Gimnastik Israel sebagai keputusan yang mengejutkan.
Memetik laporan Reuters menerusi Berita Harian, Jumaat lalu, Indonesia mengesahkan negara itu menolak permohonan visa atlet Israel susulan bantahan terhadap serangan ketenteraan Israel di Gaza, menyebabkan atlet negara itu terlepas peluang beraksi dalam kejohanan dunia yang dijadual bermula Ahad ini.
Indonesia merupakan negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia, yang juga tidak mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan Israel.
Semalam, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memaklumkan pihaknya menerima dua rayuan daripada persekutuan Israel.
CAS menolak rayuan pertama berhubung penolakan visa oleh Indonesia atas alasan tiada bidang kuasa, manakala kes kedua yang menuntut agar Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) memastikan penyertaan atlet Israel atau memindahkan lokasi kejohanan masih dalam pertimbangan.
Namun, mahkamah menolak permohonan langkah sementara dan Setiausaha Agung FIG, Sarit Shenar, mengesahkan kepada Reuters pada semalam bahawa harapan Israel untuk bertanding sudah berakhir.
Shenar berkata, untuk kejohanan dunia kali ini, ia sudah berakhir bagi Israel dan tidak kira apa yang berlaku selepas ini, pihaknya tidak dapat memulihkan semangat atlet mereka.
“Untuk masa depan sukan Israel dan sukan dunia, saya mahu melihat keputusan tegas yang tidak memberi ruang kepada mana-mana negara atau persekutuan antarabangsa membuat keputusan seumpama ini.
“Saya benar-benar berharap CAS akan membuat keputusan yang keras agar tiada sesiapa berani mendiskriminasi mana-mana atlet dari mana-mana negara atas sebarang alasan,” katanya.
Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Undang-Undang Indonesia, Yusril Ihza Mahendra, menjelaskan bahawa keputusan menolak visa atlet Israel dibuat berdasarkan bantahan kumpulan masyarakat, termasuk Majlis Ulama Indonesia (MUI) serta kerajaan di Jakarta.
Perang di Gaza turut mendapat kecaman hebat di Indonesia, meskipun gencatan senjata sudah dikuatkuasakan baru-baru ini.
Kempen ketenteraan Israel di Gaza mengorbankan hampir kira-kira 68,000 nyawa, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan, dengan ribuan lagi dipercayai tertimbus di bawah runtuhan.
Perkhidmatan Pertahanan Awam Gaza melaporkan sebanyak 250 mayat telah ditemui sejak gencatan senjata bermula. – REUTERS, BH Online –
IMedikel TV






