LISBON: Cristiano Ronaldo mencipta rekod baharu sebagai penjaring terbanyak sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia, namun Portugal terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2 apabila Hungary menjaringkan gol penyamaan lewat untuk menangguh tiket ke saingan 2026.
Memetik laporan AFP menerusi Berita Harian, selepas Attila Szalai meletakkan pelawat di depan, dua jaringan separuh masa pertama daripada Ronaldo hampir memastikan skuad kendalian Roberto Martinez layak lebih awal ke Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, Dominik Szoboszlai muncul wira Hungary apabila menyamakan kedudukan pada masa kecederaan sekali gus menghidupkan semula harapan negaranya untuk ke kejohanan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
“Kami semakin hampir mencapai matlamat! Ayuh, Portugal!” kata Ronaldo di platform X selepas perlawanan.
Skuad kendalian Martinez kini mendahului Kumpulan F dengan 10 mata, lima mata di depan Hungary.
“Kami gagal mengurus permainan dengan baik dalam 10 minit terakhir,” akuinya.
“Jika anda tidak menamatkan perlawanan, anda perlu tahu bagaimana mengawalnya hingga ke wisel penamat. Hari ini kami berhenti bermain dan Hungary menghukum kami.”
Portugal sebelum ini menewaskan Hungary dalam aksi penuh dramatik lima gol di Budapest dan sekali lagi lawan itu membuktikan mereka bukan pasukan mudah untuk ditewaskan.
Hungary mendahului seawal minit kelapan apabila Szalai menanduk masuk hantaran sudut Szoboszlai.
Namun Ronaldo, yang masih mengetuai jentera serangan pada usia 40 tahun, pantas menyamakan kedudukan hasil hantaran Nelson Semedo.
Ia adalah gol ke-40 bintang Al-Nassr itu dalam kempen kelayakan Piala Dunia – mengatasi rekod Carlos Ruiz dari Guatemala (39 gol).
Ronaldo menambah satu lagi jaringan sebelum rehat menerusi penyudah kemas susulan umpanan Nuno Mendes bagi gol antarabangsa ke-143 dalam kariernya. – AFP, BH Online –
IMedikel TV






