Home Hiburan FINAS NAFI CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN JURI FFM34

FINAS NAFI CAMPUR TANGAN KEPUTUSAN JURI FFM34

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) menegaskan pihaknya tidak pernah mencampuri urusan pemilihan calon Top 5 bagi Festival Filem Malaysia Ke-34 (FFM34), sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada barisan juri profesional yang dilantik.

Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi FINAS, Datuk Hans Isaac, menjelaskan agensi di bawah Kementerian Komunikasi itu hanya bertindak sebagai fasilitator bagi memastikan kelancaran penganjuran acara berprestij itu, tanpa sebarang pengaruh terhadap keputusan panel juri.

“Mengenai keputusan juri, kami tidak terlibat langsung. Segalanya terpulang kepada panel juri yang dilantik.

“FINAS hanya bertindak sebagai fasilitator dan bukan pihak yang menentukan siapa layak ke Top 5. Pemilihan juga tidak datang daripada Kementerian Komunikasi mahupun FINAS,” katanya kepada BH Online.

Sebaik senarai calon Top 5 diumumkan, pelbagai persoalan timbul dalam kalangan penggiat dan peminat industri filem, termasuk isu pencalonan pelakon daripada naskhah sama dalam satu kategori.

Turut menjadi tanda tanya ialah ketiadaan lagu popular Rahsia Tuhan nyanyian Noh Salleh, runut bunyi rasmi filem Babah, dalam kategori Lagu Tema Terbaik.

Mengulas mengenai situasi itu, Hans berkata, semua keputusan adalah hasil perbincangan teliti juri profesional berdasarkan merit, bukannya populariti.

“Saingan tahun ini memang sengit kerana mutu filem tempatan sudah meningkat ke tahap membanggakan. Bila sampai tahap ini, proses pemilihan menjadi lebih mencabar.

“Kalau saya sendiri jadi juri, mungkin pening nak pilih. Setiap kategori ada keunikan tersendiri,” katanya sambil menambah setiap keputusan pastinya mengundang pelbagai pandangan positif dan negatif.

Dalam masa sama, Hans memaklumkan identiti panel juri hanya akan diumumkan pada malam kemuncak FFM34, yang dijadual berlangsung pada 1 November ini.

“Nama dan jumlah juri hanya akan didedahkan secara rasmi pada malam anugerah. Buat masa ini, tiada siapa tahu siapa mereka,” katanya.

FFM34 yang akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Seri Angkasa, Kota Media, Angkasapuri, pada 1 November ini, mempertandingkan 25 kategori utama.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV2 sekali lagi dipilih sebagai rakan strategik dan penyiar rasmi malam kemuncak itu.

Malam anugerah berprestij itu akan menampilkan gandingan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai hos utama. – BH Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here