Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Deruman enjin motosikal yang sarat dengan jualan barangan basah termasuk kuih-muih, sayur-sayuran serta ikan menyusuri lorong kampung setiap pagi menandakan bermulanya rutin harian seorang wanita yang gigih mencari rezeki.
Suariani Mahammad, 41, dari Kampung Sering yang tidak lekang dari senyuman sebaik kru IMedikel TV menemuinya ketika sedang menjaja di sekitar kawasan Panji, Kampung Pulau Gajah dan Kampung Sabak, hari ini.

Bagi Suariani, rutin menjaja dari rumah ke rumah adalah disifatkan sebagai hobi selain ikhlas untuk membantu suaminya bagi mendapatkan pendapatan sampingan.
“Saya suka menjaja dengan motor setiap hari, bawa sayur-sayuran, kuih-muih, nasi berlauk dan ikan.
“Walaupun anak-anak selalu minta supaya ibunya rehat, tetapi saya tetap ingin buat kerja ini selagi saya rasa masih sihat,” katanya apabila ditemui Kru IMedikel TV ketika sedang menjaja dengan motosikalnya di Kampung Sabak, hari ini.
Dia yang juga ibu kepada empat anak berkata, sudah bekerja sebagai penjaja selama 24 tahun dan kini turut menjaga adik dan ibunya di rumah.
Katanya, kesemua barang jualan itu diambil di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, sesudah waktu subuh dan terus bergerak untuk menjaja sehingga jam 11 pagi.

“Kadang-kadang semua jualan habis, tetapi kalau ada yang lebih, biasanya saya akan bersedekah.
“Keuntungan pula kalau nak kata banyak pun tidak juga tapi alhamdulillah dalam sehari sekitar RM250, dan saya bersyukur sebab saya menjaja pun separuh hari sahaja, jadi itu pun sudah cukup,” katanya.
Suariani berkata, ketika cuaca hujan, dia lebih suka menjaja kerana jualan ikan akan lebih laris apabila pelanggan membeli lebih daripada satu kilogram ikan.
Dia juga tidak kisah sekiranya perlu memakai baju hujan demi semangat untuk bantu keluarga.
Sementara itu, bagi seorang warga emas, penjaja colek buah di Kota Bharu, Ali Othman, 63, berkata jualannya kini tidak selaris suatu ketika dahulu malah kurang mendapat sambutan.

“Ini adalah sumber pendapatan utama saya, setakat saya menjaja colek buah lebih 20 tahun ini, saya lihat sekarang orang ramai kurang membeli tidak seperti dulu.
“Untung sekarang ini tidak sampai RM100 sehari, tetapi walaupun keadaan kesihatan tidak menguzinkan, saya tetap gagah menjaja kerana saya suka, kalau duduk di rumah, bosan juga,” katanya.
Ali berkata, dia menjual colek buah dan aiskrim bermula jam 10 pagi hingga 4 petang di tepi jalan Kota Bharu berdekatan Sungai Kelantan.
Dia yang juga bapa kepada empat anak tidak kenal erti penat lelah sehingga mampu keluar menjaja setiap hari kecuali Jumaat.
IMedikel TV






