KUALA LUMPUR: Pada 29 Mei yang lalu, skuad Harimau Malaya berjaya mengikat pasukan yang ketika itu menghuni ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 pada aksi persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.
Memetik laporan menerusi Berita Harian penyerang gantian, Paulo Josue meledak gol penyamaan kira-kira 10 minit sebelum tamat permainan untuk menafikan jaringan pembukaan Sidny Lopes Cabral seawal separuh masa pertama.
Keputusan seri ini jelas memberikan petanda positif kepada skuad negara apatah lagi mencatat keputusan seri menentang pasukan yang berada dalam kelompok 80 terbaik dunia.
Kira-kira lima bulan selepas pertembungan itu, Cape Verde yang ketika ini berada di ranking ke-70 dunia menjadi negara kedua terkecil yang layak ke Piala Dunia selepas menewaskan Eswatini 3-0 untuk mengesahkan tempat mereka di kejohanan tahun hadapan.
Negara kepulauan itu sudah mengetahui bahawa kemenangan akan memastikan tempat mereka ke Piala Dunia 2026 sebelum perlawanan bermula.
Gol daripada Dailon Livramento dan Willy Semedo pada separuh masa pertama dan kedua membawa pasukan itu semakin hampir kepada pencapaian bersejarah itu.
Gol ketiga daripada pemain pertahanan, Stopira, pada masa kecederaan separuh masa kedua memastikan kemenangan 3-0 dan mencetuskan sambutan di stadium kebangsaan mereka.
Bank Dunia melaporkan Cape Verde yang memiliki populasi seramai 524,877, saiz Cape Verde menyamai saiz bandar Sheffield.
Dua dekad lalu, mereka hampir tidak bermain sebarang aksi antarabangsa, secara purata dua perlawanan setahun sejak 1986, apabila mereka menyertai FIFA, hingga 1990 mereka menyertai kelayakan Piala Dunia buat pertama kali di kedudukan 182 ranking dunia.
Selepas itu semuanya bergerak dengan baik, dibantu secara aktif memanggil pemain Diaspora dari seluruh dunia.
Pengenalan bakat dan proses mengambil bakat global mula membuahkan hasil pada sekitar 2013, apabila mereka layak ke pusingan akhir Piala Negara Afrika buat pertama kali.
Sumber terhad dan landskap yang sukar menyebabkan migrasi berterusan dari pulau berkenaan, sejak zaman penjajahan Portugal.
Penduduk pergi ke Portugal selain destinasi lain seperti AS, laut selatan dan pelabuhan Belanda di Rotterdam.
Skuad itu menampilkan enam pemain kelahiran Belanda selain pemain dilahirkan di Portugal, Perancis dan Ireland.
Pasukan yang dikendalikan oleh Pedro Leitao Brito layak selepas menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan mereka dengan tujuh kemenangan, dua seri dan satu kekalahan.
Sebelum ini, Iceland layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia dengan anggaran populasi sekitar 335,000 pada masa itu. – BH Online –
IMedikel TV






