Home Luar Negara INDONESIA IKRAR BANTUAN MAKANAN AS$12 JUTA UNTUK GAZA

INDONESIA IKRAR BANTUAN MAKANAN AS$12 JUTA UNTUK GAZA

341
0

NEW YORK: Memetik laporan AGENSI menerusi Harian Metro, Indonesia berjanji untuk menyalurkan bantuan makanan bernilai AS$12 juta (kira-kira RM50.7 juta) kepada penduduk Gaza melalui Program Makanan Sedunia (WFP) sebagai respons terhadap krisis makanan yang berterusan di wilayah itu.

Memetik laporan Antara, sumbangan ini adalah sebahagian daripada komitmen Indonesia untuk menghantar 10,000 tan metrik beras yang sebelum ini diumumkan oleh Presiden Prabowo Subianto semasa ucapannya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 23 September lalu.

“Keputusan bersama oleh kerajaan Palestin dan Indonesia untuk menyalurkan bantuan melalui WFP dibuat bagi memastikan pengagihan yang pantas dan tepat sasaran,” kata Menteri Luar Negeri Indonesia, Sugiono, semasa taklimat media di sini pada 26 September lalu.

Sugiono menegaskan bahawa keputusan untuk menghantar bantuan melalui WFP dibuat kerana keadaan keselamatan di lapangan terus merosot.

“Ini adalah pilihan terbaik memandangkan kesukaran yang melampau untuk menghantar bantuan ke Gaza manakala keperluan makanan di sana amat mendesak,” katanya.

Indonesia sudah lama bekerjasama dengan WFP untuk menghantar bantuan di pelbagai negara yang dilanda krisis. Pakej bernilai AS$12 juta (kira-kira RM50.7 juta) yang diserahkan secara rasmi pada 24 September lalu akan menyokong program tindak balas makanan kecemasan WFP di Gaza.

“Seperti yang dinyatakan oleh Presiden di Perhimpunan Agung PBB, Indonesia kekal komited untuk menyokong rakyat Palestin dengan bantuan beras dan sumber penting yang lain,” kata Sugiono.

Katanya, pengagihan bantuan melalui WFP akan memastikan penduduk Gaza menerima makanan berkhasiat dan sedia untuk dimakan yang memenuhi piawaian makanan antarabangsa.

Di sebalik bantuan itu, penghantaran bantuan ke Gaza berdepan halangan logistik yang besar termasuk kemudahan penyimpanan yang terhad, kekurangan bahan api dan akses terhad kepada air bersih.

“Komitmen Indonesia terhadap Palestin tidak berbelah bahagi. Kami terus meneroka dan menggunakan semua mekanisme dan saluran yang ada untuk menyampaikan sokongan yang bermakna,” katanya.

Sugiono berkata, kerajaan juga menyalurkan bantuan berjumlah AS$2 juta (kira-kira RM8.45 juta) pada tahun ini melalui Palang Merah Antarabangsa untuk Palestin. – AGENSI, HMetro Online –

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here