KUALA LUMPUR: Penyanyi Ara Johari, 28, tidak menafikan kewujudan unsur-unsur mistik yang mengganggu ketika menyertai sesuatu pertandingan.
Memetik laporan menerusi Harian Metro bagaimanapun, Ara berkata perkara membabitkan mistik ini boleh dipercayai, tetapi perlu berpada-pada agar tidak kelihatan kita terlalu taksub dengannya.
“Apapun, bagi saya benda ini (unsur mistik) wujud. Sebab saya pun pernah dengar cerita daripada orang-orang lain. Cuma, saya tak nak taksub sangat dengan cerita sebegini (mistik).
“Apatah lagi, saya pun tak pernah mengalaminya dan selalu mohon pada Allah jauhkanlah. Saya lebih berhati-hati sahaja,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga apa yang lebih baik dijaga seseorang dalam mengelakkan unsur mistik ini berlaku, Ara berkata sangat penting menjaga percakapan.
“Kita memang kena sentiasa berjaga-jaga dari segi kata-kata. Kadang-kadang daripada tutur kata itu pun orang boleh jadi tidak selesa.
“Kadang-kadang orang itu tak kenal kita pun. Tapi, bila dah cakap macam itu timbul perasaan benci. Jadi, kita kena hati-hati dan banyakkan berdoa agar dilindungi oleh Tuhan,” katanya.
Mengulas sama ada dalam keluarga atau saudara-maranya pernah mengalami perihal unsur mistik itu, Ara berkata memang ada berlaku.
“Saya sebenarnya tak percaya mengenai mistik-mistik ini mulanya. Tapi, bila ia terjadi pada orang yang rapat dengan sayq dan keluarga juga, saya mula sedar,” jelasnya.
Terdahulu, Ara ditemui hadir pada tayangan perdana filem Indonesia Siapa Dia arahan Garin Nugroho di pawagam ibu kota malam tadi.
Menerusi filem Siapa Dia, Ara juga menyanyikan lagu runut bunyi (OST) untuk tayangan di Malaysia mulai 16 Oktober ini dengan lagu Cinta Terhebat.
Filem membabitkan Faizal Lubis sebagai pengarah muzikal dan penerbit eksekutif ini dibintangi Nicholas Saputra, Amanda Rawles, Ariel Tatum, Widi Mula dan ramai lagi. – HMetro Online –
IMedikel TV






