ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan dilaporkan mendakwa bekas Perdana Menteri, Imran Khan atas tuduhan membocorkan rahsia negara, seterusnya menyukarkan lagi peluang pemimpin itu untuk bertanding dalam pilihan raya persekutuan tahun depan.
Peguam kepada Imran, Shah Mehmood Qureshi, yang turut dilaporkan didakwa dalam kes berkenaan, mencabar laporan media mengenai pendakwaan terhadap dua pemimpin politik itu dalam satu hantaran di media sosial.
Peguam utama yang mewakili Imran bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas perkara itu.
Tuduhan itu dilaporkan berkait dengan kiriman kabel rahsia dihantar kepada Islamabad oleh duta Pakistan ke Washington tahun lalu, yang didakwa didedahkan Imran kepada umum.
Organisasi media negara itu melaporkan, beliau mengaku tidak bersalah atas tuduhan berkenaan.
Imran sebelum ini dilaporkan berkata, isi kandungan kabel terbabit muncul dalam media selepas didedahkan sumber lain.
Jika didapati bersalah di bawah Akta Rahsia Rasmi, Imran berdepan hukuman penjara sehingga 14 tahun, malah mungkin juga menghadapi hukuman mati, menurut peguam.
Ini kali kedua Imran didakwa atas tuduhan berkenaan, selepas tuduhan terdahulu diketepikan atas dasar teknikal oleh mahkamah lebih tinggi sebelum ini.
Imran berkata, kabel itu bukti konspirasi oleh tentera Pakistan dan Amerika Syarikat (AS) untuk menggulingkan kerajaannya pada 2022, susulan lawatannya ke Moscow sebelum Russia menyerang Ukraine.
Washington dan tentera Pakistan masing-masing menafikan perkara itu.
Imran yang juga bekas pemain kriket memenangi pilihan raya 2018 Pakistan.
Beliau berdepan puluhan tindakan undang-undang yang diselarnya sebagai usaha menghapuskan kerjaya politiknya. Imran sebelum ini dipenjara tiga tahun selepas disabitkan atas tuduhan rasuah.
Pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan, tetapi Imran masih ditahan di penjara berkait kes lain termasuk menghasut keganasan dan kes rahsia rasmi. – REUTERS, BH Online –
IMEDIKEL TV






