Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV
KOTA BHARU: Cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengkaji semula pelaksanaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) mendapat reaksi positif daripada ibu bapa yang melihat peperiksaan itu sebagai satu penanda aras penting dalam menilai tahap penguasaan akademik anak-anak.
Menurut ibu kepada seorang anak, Nur Silma Mazlan, 33, dari Bachok, kewujudan semula peperiksaan awam berkenaan dapat membantu murid untuk lebih bersedia menghadapi alam persekolahan seterusnya.

“Sebagai ibu, saya melihat anak saya kurang fokus dalam pembelajaran kerana tiada peperiksaan yang benar-benar mencabar, ketika di darjah lima, anak saya menduduki UPKK, dia lebih fokus dan pihak sekolah turut memberi penekanan yang jelas.
“Namun di darjah enam, tumpuan itu berkurangan kerana tiada peperiksaan besar, termasuk kelas tambahan yang hanya dibuat pada akhir tahun.
“Selain itu, penilaian dalaman oleh sekolah kurang memberi gambaran sebenar pencapaian murid, berbanding UPSR yang dinilai secara lebih menyeluruh di peringkat nasional,” katanya ketika dihubungi I Medikel TV, hari ini.
Dalam pada itu, Nur Silma mengambil inisiatif menghantar anaknya, Adam Harraz Mohd Hanif, 13, ke Maahad Sains Tahfiz Al-Muhammadi, Bachok, bagi memastikan anaknya mendapat pendidikan seimbang, menekankan ilmu agama dan akademik.
Sementara itu, seorang bapa, Zakaria Mat, 42, dari Bachok, turut menyokong cadangan KPM untuk mengembalikan UPSR dan PT3, kerana ramai murid kini dikatakan kurang fokus dalam pembelajaran.

“Jika UPSR dan PT3 dikembalikan, saya rasa lebih baik dilaksanakan dalam tempoh dua tahun akan datang supaya murid ada masa cukup untuk buat persiapan awal.
“Sekiranya peperiksaan diadakan secara mengejut, pelajar berisiko tertekan kerana perlu menumpukan fokus sepenuhnya dalam tempoh singkat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Tambahnya, dia berharap anak sulungnya, Muhammad Iman Fawwaz Zakaria, 11, berpeluang menduduki UPSR sebagai langkah sebelum memasuki peringkat tingkatan.

Media sebelum ini melaporkan KPM akan mengkaji semula keperluan untuk mengembalikan UPSR serta PT3 serta akan mengaktifkan semula Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) untuk melaksanakan kajian berkenaan, tahun ini.
IMedikel TV






