KUALA LUMPUR: Ketiadaan beberapa tonggak utama pasukan kebangsaan jelas memberi kesan apabila skuad kendalian Kim Pan-gon sekadar menang tipis 1-0 ke atas Perak FC.
Pan-gon hanya mempunyai tempoh lima hari untuk mencorak strategi berkesan apabila skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan di Bishkek dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 6 Jun ini.
Kemenangan tipis ke atas skuad The Bos Gaurus dalam aksi persahabatan tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi satu-satunya medan Pan-gon untuk menilai skuad tempang dimilikinya menjelang dua aksi penting.
Jaringan tonggak pertahanan negara, Daniel Ting pada minit ke-17 menyelamatkan maruah skuad kebangsaan bertemu kelab Liga Malaysia itu.
Tugas berat dipikul barisan penyerang kebangsaan yang menjadi sandaran Harimau Malaya kali ini, terutama Paulo Josue, Akhyar Rashid dan Safawi Rasid.
Skuad negara kehilangan lima pemain di jentera hadapan – Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi, Darren Lok, Romel Morales dan Syafiq Ahmad – kerana masalah kecederaan.
Skuad kebangsaan akan ke Bishkek untuk berdepan Kyrgyzstan sebelum pulang ke tanah air bagi aksi terakhir Kumpulan D kelayakan menentang Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun ini.
Harimau Malaya perlu mengutip enam mata maksimum untuk layak secara automatik ke Piala Asia 2027 dan turut meraih tiket ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.- BH Online –
Imedikel TV






