KUALA LUMPUR: Apa sudah jadi kepada beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik?.
Semuanya serba tidak menjadi buat pasangan nombor lima dunia itu ketika mereka tersingkir di suku akhir Terbuka Singapura, sebentar tadi.
Aaron-Wooi Yik tewas di tangan gandingan nombor empat dunia dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen 10-21, 14-21 dalam tempoh hanya 29 minit pada aksi yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura.
Pada perlawanan itu, Aaron-Wooi Yik tampil dengan aksi longlai dan tidak menunjukkan semangat juang tinggi untuk sekurang-kurangnya memberi tentangan sengit kepada lawan apabila banyak melakukan kesilapan mudah termasuk pukulan yang sering sangkut di jaring.
Aksi ditampilkan bekas juara dunia itu langsung tidak mencerminkan mereka sebagai antara sandaran utama bagi memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024.
Ini adalah kekalahan pertama Aaron-Wooi Yik di tangan Astrup-Skaarup selepas menang tiga pertemuan terakhir sebelum ini.
Aaron-Wooi Yik minggu lalu turut bergelut dengan prestasi tidak menentu ketika mereka tewas di tangan pasangan ke-34 dunia dari Korea Selatan, Jin Yong-Na Sung Seung 21-11, 19-21, 19-21 di suku akhir Masters Malaysia dengan Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky menyifatkan ia sebagai kekalahan yang tidak boleh diterima.
Berbaki kurang dua bulan sebelum Olimpik Paris bermula, situasi yang menghantui Aaron-Wooi Yik ketika ini harus menghadirkan rasa ‘cemas’ barisan kejurulatihan dan sesuatu perlu dilakukan bagi menyuntik semula semangat dan meningkatkan keyakinan mereka.
Aaron-Wooi Yik berpeluang untuk menebus aksi hambar ini apabila dijadual beraksi di Terbuka Indonesia, minggu depan yang menjadi kejohanan terakhir sebelum menyertai Olimpik Paris.
Kekalahan Aaron-Wooi Yik turut menandakan berakhirnya perjuangan wakil negara di Terbuka Singapura selepas pemain lain sebelum itu turut ‘gugur’ di medan pertempuran.
Terdahulu, pemain perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao gagal untuk meneruskan momentum sebagai ‘pembunuh gergasi’ apabila tewas di tangan pemain nombor satu dunia dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi suku akhir.
Selepas menyingkirkan pemain ranking nombor tujuh dunia dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, semalam, Jun Hao tidak dapat menyaingi kehebatan Axelsen yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Masters Malaysia, minggu lalu apabila tewas 12-21, 11-21.
Sebelum itu, dua lagi wakil negara yang beraksi di suku akhir iaitu beregu lelaki, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei dan beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut terkandas selepas tewas di tangan lawan masing-masing.- BH Online –
Imedikel TV






