Bagi meningkatkan kesedaran masyarakat dunia dalam memelihara dan memulihara ekosistem hutan paya laut, hari ini 26 julai 2023 menjadi sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa 2023.
Sambutan berkenaan adalah untuk memastikan kelangsungan peranaa serta sumbangnnya kepada kesejahteraan masyarakat.
Menurut kenyataan media Kementerian Sumber Asli, Alam Sekita dan Perubahan Iklim, hutan paya laut adalah ekosistem tropika yang amat unuk dan mengandungi kepelbagaian biologi khususnya bagi pembiakan hidupan laut.
Memetik kenyataan Pertubuhan Pendidikan Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) spesies hutan paya laut boleh dijumpai di 123 negara di serata dunia, namun ianya kurang daripada 1% daripada keseluruhan hutan tropika di dunia serta kurang daripada 0.4% daripada keseluruhan hutan di dunia.
Usaha bagi melindungi dan memelihara hutan paya laut di Malaysia tidak mudah kerana Malaysia merupakan negara pesat membangun dan kadar kehilangan hutan paya laut adalah antara 3 hingga 5 kali lebih tinggi daripada kadar kehilangan hutan global.
Dalam pada itu, Malaysia juga menjadi negara yang bertuah kerana berupaya dalam mengekalkan kawasan hutan paya laut seluas 629,038 hektar iaitu 3.44% daripada keluasan kawasan berhutan di seluruh negara.
Menurut kenyataan media berkenaan, 6 daripada 7 tapak RAMSAR di Malaysia terdiri daripada Kawasan hutan paya laut berkepentingan anatarabangsa terutamanya sebagai habitat unggas air.
Antara inisiatif dalam memelihara dan memulihara Kawasan paya laut adalah menerusi Program Penanaman Pokok Bakau dan Spesies-spesies yang sesuai di pesisiran pantai negara. Sehingga tahun 2022, sejumlah 3,273.34 hektar kawasan pesisir pantai di seluruh negara telah ditanam dengan pokok bakau dan sebanyak 7,196,996 spesies-spesies pokok hutan turut ditanam di pesisir pantai terpilih.
Kerajaan persekutuan juga mengambil perhatian dalam aspek pemeliharaaan dan pemuliharaan hutan paya laut serta diperkukuhkan selaras dengan Rancangan Fizikal Zon Pesisiran Pantai Negara II yang telah dikeluarkan oleh PLANMalaysia.
Antara usaha Kerajaan Persekutuan adalah dengan mewartakan seluas 68.281 hektar kawasan Hutan Paya Bakau Kina Benuwa di Wilayah Persekutuan Labuan sebagai hutan simpanan kekal (HSK) dan dinamakan sebagai Hutan Simpan Kina Benuwa.
Susulan pewartaan HSK baharu ini, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Ikim (NRECC) akan terus meningkatkan kerjasama strategik dengan Perbadanan Labuan dalam pengurusan Hutan Simpan Kina Benuwa.
Sementara itu, NRECC juga mengalu-alukan bentuk kerjasama strategik dan penajaan daripada badan korporat untuk menjalankan aktiviti restorasi di kawasan Hutan Simpan Kina Benuwa dan kawasan hutan paya laut di seluruh negara. – Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim –
Imedikel TV






