LEIPZIG: Jurulatih Belanda, Ronald Koeman berkata pengadil melakukan kesilapan apabila membatalkan gol pasukannya ketika menentang Perancis dalam aksi Kumpula D Euro 2024, awal pagi tadi.
Gol pada separuh masa kedua yang dijaringkan Xavi Simons dibatalkan kerana Denzel Dumfries dikesan dalam kedudukan ofsaid di sebelah penjaga gol, Mike Maignan dan keputusan itu disahkan oleh VAR selepas mengambil masa yang agak lama.
Bagaimanapun, Koeman, berkata dia sudah melihat gambar ketika insiden itu dan tidak bersetuju dengan keputusan pengadil dari England, Anthony Taylor.
“Benar, kedudukan Dumfries adalah ofsaid. Namun, dia tidak mengganggu penjaga gol. Dan apabila itu tidak berlaku, maka ia adalah gol yang sah pada pandangan saya,” kata jurulatih Belanda itu dalam sidang media selepas perlawanan.
“Adakah mereka memerlukan lima minit untuk memeriksanya kerana ia sangat sukar? Saya tidak faham ini. Dia tidak mengganggu penjaga gol,” tambah Koeman.
Bagaimanapun, Koeman, berkata keputusan seri tanpa jaringan antara kedua-dua pasukan adalah keputusan yang adil.
Perancis dan Belanda masing-masing kini mengumpul empat mata di tangga teratas kumpulan dan hampir pasti melangkah ke pusingan kalah mati.
“Walaupun saya fikir gol itu sepatutnya dikira, pandangan saya ia adalah keputusan yang adil. Saya boleh menerimanya, walaupun terdapat masa-masa dalam perlawanan di mana kami tidak mencapai tahap yang sepatutnya dan itu mungkin kerana kami berdepan dengan lawan yang hebat.
“Namun, kami mempunyai empat mata daripada dua perlawanan dan bermain menentang pasukan pilihan utama. Saya akan bersetuju dengan itu sebelum perlawanan. Saya gembira, saya tidak tahu tentang kamu,” soalnya kepada pemberita.
“Mungkin kamu akan kata Belanda membosankan dan defensif, dan itu dibenarkan. Tetapi saya rasa Perancis juga gembira meninggalkan padang dengan satu mata.”
Sementara itu, Simons, berkata tiada gunanya membantah keputusan yang sudah dilakukan pengadil itu.
“VAR sudah membuat keputusan, anda tidak boleh melakukan apa-apa mengenainya. Saya boleh berkata sesuatu, tetapi ia tidak akan mengubah apa-apa. Ia adalah keputusan pengadil, kita perlu memandang ke hadapan,” katanya. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






