BERLIN: Pemain terbaik perlawanan, Christoph Baumgartner mengakui lega dengan kemenangan ke atas Poland dalam aksi Kumpulan D Euro 2024 di Olympiastadion.
Kemenangan 3-1 itu menghidupkan peluang Austria untuk mara ke pusingan kalah mati selepas tewas 1-0 di tangan Perancis pada aksi pembukaan.
Baumgartner kembali meletakkan Austria di depan pada minit ke-66 selepas jaringan minit kesembilan Gernot Trauner diimbangi gol Poland menerusi Krzysztof Piatek (m30).
“Babak pertama tidak seperti yang kami jangkakan. Tetapi secara keseluruhan ia positif.
“Kami tidak terlalu agresif selepas minit ke-20. Seluruh negara berhak meraikan kemenangan ini dan kami gembira memenanginya.
“Semua orang sangat gembira. Tekanan terlalu tinggi buat kami sehingga tidak dapat tidur semalam kerana terlalu tertekan.
“Kami sangat lega sekarang tetapi kami sedar ini barulah permulaan dan masih banyak cabaran besar menanti,” kata Baumgartner.
Baumgartner turut dilihat meraikan jaringannya dengan penuh emosi bersama pengendali Austria, Ralf Rangnick.
“Dia membantu saya setiap hari dan memberikan saya kekuatan ketika rehat. Dia bercakap dengan saya hampir tiga atau empat minit, jadi saya berterima kasih kepadanya,” katanya.
Austria akan berdepan Belanda pada aksi terakhir kumpulan dan Poland akan bertemu Perancis. – REUTERS,BH Online –
Imedikel TV






