PHNOM PENH: Seorang lelaki warga Thailand ditemukan diseksa hingga mati di Poipet, barat Kemboja, dipercayai menjadi mangsa terbaharu kekejaman kumpulan penipuan rentas sempadan, lapor Bangkok Post.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, Pusat Penyelarasan Bantuan IMF untuk warga Thailand di Luar Negara (IMF Centre Coordinating Assistance) melaporkan kematian itu pada pagi Isnin lalu.
Mangsa dikenal pasti sebagai Sarawut yang lebih dikenali sebagai “Toto,” dari Samut Prakan. Dia meninggal dunia di bangunan dan tingkat yang sama dengan Suda Chonlaket, seorang wanita muda dari wilayah Phangnga yang kematiannya disahkan pada Sabtu lalu.
Mayat Sarawut ditemukan di Bilik 218, Tingkat 6, Bangunan B di Poipet.
Kenyataan Yayasan Immanuel (Immanuel Foundation-IMF) mengkritik pihak berkuasa Kemboja kerana didakwa gagal menyiasat lokasi yang dilaporkan.
Menurut yayasan itu, mangsa diserang secara kejam oleh ahli kumpulan menggunakan rod besi dan pencucuh elektrik.
Serangan itu – menurut IMF – diarahkan oleh seorang ‘bos’ berbangsa Cina selepas mangsa gagal memenuhi kuota yang ditetapkan bagi menipu rakyat Thailand.
Seorang rakan mangsa yang lebih tua yang berjaya melarikan diri daripada rangkaian penipuan itu dan kini berada di lokasi selamat dan menghubungi yayasan berkenaan untuk meminta bantuan membawa pulang mayat rakannya ke Thailand.
Pusat itu menyatakan terdapat kebimbangan kumpulan terbabit merancang untuk mengebumikan mayat itu secara rahsia di Phnom Penh bagi menyembunyikan bukti.
Pihak berkuasa mendapati bahawa mangsa diperdaya untuk bekerja di pusat penipuan di Kemboja. Pekerja yang gagal mencapai sasaran yang ditetapkan yang dipercayai bernilai ratusan ribu baht (anggaran nilai puluhan ribu Ringgit Malaysia) akan dihukum dengan teruk dengan sebahagian daripadanya mati akibat seksaan. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






