Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 18 warga asing disyaki terbabit dalam menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti ‘seks songsang’ dalam satu Operasi Khas, di sekitar Taman Miharja, Kuala Lumpur, kira-kira jam 10.37 malam, pada Isnin lalu.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket itu menawarkan perkhidmatan tidak bermoral berkenaan secara dalam talian kepada lelaki warga asing dan tempatan.
“Modus operandi yang digunakan adalah menawarkan perkhidmatan urutan badan dan aktiviti ‘seks songsang’ dengan menyasarkan pelanggan lelaki warganegara asing dan tempatan.
“Kegiatan ini menggunakan aplikasi media sosial seperti Telegram dan WhatsaA untuk mempromosikan perkhidmatan mereka.
“Kadar bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM200 hingga RM800 bagi setiap perkhidmatan dan dibayar secara ‘online’. Kegiatan ini dipercayai sudah beroperasi sejak 6 bulan lalu,”katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, serbuan dijalankan susulan aduan awam dan hasil risikan selama dua minggu pasukan operasi berjaya menyerbu dan menahan 18 individu iaitu 16 warga Myanmar termasuk “penjaga premis”, dan satu dari Vietnam serta India.
“Kesemua yang ditahan berumur di antara 18 hingga 39 tahun. Jumlah keseluruhan yang ditahan adalah seramai 18 orang.
“Semakan awal mendapati satu lelaki warganegara India memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan, satu lelaki warganegara Myanmar memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS), dua lelaki warganegara Myanmar dan satu lelaki warganegara Vietnam telah tinggal lebih masa manakala 13 lelaki warganegara Myanmar yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau Pas yang sah untuk berada di negara ini,”katanya.
Beliau berkata pasukan operasi menyita satu naskhah pasport India, satu naskhah pasport Vietnam, enam naskhah pasport Myanmar, buku tempahan pelanggan, kunci premis, kondom dan minyak pelincir.
“Seramai 13 lelaki warganegara Myanmar ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(4) Akta Imigresen 1959/63, dua lelaki warganegara Myanmar dan satu lelaki warganegara Vietnam ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 manakala satu lelaki India dan satu lelaki Myanmar ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,”katanya.
Jelasnya kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut. Seorang lelaki warganegara Malaysia telah diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.
“Jabatan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, demi mempertahankan kestabilan dan kemakmuran Malaysia MADANI agar negara kekal aman dan sejahtera,”katanya.
IMedikel TV






