Home Buletin Semasa TOYOTA ESTIMA JADI TEMPAT SIMPANAN LEBIH 18 KG DADAH BERNILAI RM1.5 JUTA

TOYOTA ESTIMA JADI TEMPAT SIMPANAN LEBIH 18 KG DADAH BERNILAI RM1.5 JUTA

Oleh: Nur Athirah Azman@IMedikel TV

KOTA BHARU: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dijadikan tempat penyimpanan 18.3 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah bernilai RM1.5 juta di kawasan tempat letak kereta sebuah kondominium di Balakong, Selangor, pada 15 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, rampasan itu dilakukan hasil serbuan ke atas kenderaan yang tidak berkastam selepas pihaknya melakukan intipan selama lapan jam berdasarkan aduan orang awam.

“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah beg pakaian dan tong lut sinar yang berisi pelbagai jenis dadah termasuk erimin 5, ekstasi dan pil kuda yang disimpan di dalam kenderaan Toyota Estima untuk pasaran tempatan.

“Mereka menggunakan modus operandi dengan menggunakan kenderaan yang tidak berkastam sebagai tempat penyimpanan dadah berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Penguatkuasaan JKDM Kelantan, di sini, hari ini.

Menurut beliau, dalam operasi sama, pihaknya turut merampas dua kenderaan lain iaitu Porsche Panamera, dan Nissan Teana serta sebuah motosikal Honda CB400 yang tidak berkastam di sekitar Kuala Lumpur.

Jelasnya, kes kenderaan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 serta kes dadah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

”Kes kenderaan sedang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM50,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua kali ganda nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

”Bagi kes dadah, ia disiasat di bawah Seskyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat sehingga 15 sebatan, jika sabit kesalahan,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memaklumkan JKDM Kelantan berjaya menumpaskan 29 kes membabitkan pelbagai jenis dadah termasuk bunga ganja, ganja mampat, pil kuda, syabu dan lain-lain dengan nilai rampasan lebih RM22.8 juta sepanjang Januari sehingga Oktober lalu.

IMedikel TV

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here