JOHOR BAHRU: Pemain import baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Heberty Fernandes jelas teruja selepas penampilan pertama bersama pasukan itu memberi impak dengan dia penyumbang gol unuk Harimau Selatan menewaskan Selangor FC 2-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam tadi.
Memetik laporan Berita Harian, Fernandes yang masuk menggantikan Akhyar Rashid pada babak kedua, menjaringkan gol pertamanya bersama JDT pada minit ke-78 selain penalti Bergson Da Silva pada minit akhir permainan untuk memastikan kemenangan 2-0 ke atas skuad kendalian Tan Cheng Hoe sekali gus kemenangan ke-18 berturut-turut dalam liga.
“Saya amat gembira kerana dapat membantu pasukan dan menjaringkan gol. Ianya satu perasaan yang hebat dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata dan saya sememangnya teruja dengan permulaan yang baik ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.
Namun begitu, dia sedar masih memerlukan waktu untuk menambah kecergasan dan menyesuaikan diri dengan kehendak latihan diinginkan pengendali JDT, Esteban Solari.
“Saya rasa masih banyak yang perlu diperbaiki kerana agak lama tidak beraksi berikutan Liga Thailand sudah dua bulan berakhir. Saya perlukan sedikit masa untuk lebih bersedia dan lebih cergas,” jelasnya.
Pemain kelahiran Brazil itu juga gembira dengan persembahan dan komitmen rakan sepasukannya dan dia menyatakan bahawa saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Liga Thailand mempunyai tahap kompetitif yang baik.
“Liga Malaysia dan Liga Thailand ianya adalah dua liga yang baik. Pemerhatian saya dari perlawanan sebelum ini ketika menentang KL City, pasukan beraksi sangat baik dan perlawanan hari ini juga sangat sukar dan saya sangat gembira berada di sini,” kata Fernandes.
Imedikel TV






