MANCHESTER: Sir Alex Ferguson berharap dipanjangkan usia untuk menyaksikan pembukaan stadium baharu Manchester United yang bakal menggantikan Old Trafford.
Memetik laporan Agensi menerusi Harian Metro, legenda berusia 84 tahun itu mengakui terfikir sama ada beliau sempat melihat stadium berkapasiti 100,000 penonton itu dibuka.
“Saya tertanya-tanya sama ada saya masih ada untuk meraikan pembukaannya.
“Saya harap pembinaan dapat dimulakan segera kerana jika mengambil masa lima tahun, usia saya sudah menghampiri 90 tahun.
“Bagaimanapun, saya tahu saya akan berada di majlis itu dalam apa cara sekalipun, sama ada secara fizikal atau sebagai kenangan,” katanya dalam buku Games of My Life.
United sebelum ini menyasarkan perpindahan ke stadium baharu pada 2030, namun tarikh berkenaan sudah dibatalkan dan kelab itu belum menetapkan tarikh baharu.
Pemilik bersama United, Sir Jim Ratcliffe pada 2024 mencadangkan stadium baharu berkapasiti 100,000 penonton, manakala reka bentuknya diperkenalkan Foster+Partners pada Mac 2025.
United turut membeli tanah berhampiran Old Trafford dengan harga £63.5 juta (RM361 juta) bagi projek berkenaan.
Ferguson yang dilantik sebagai pengurus United pada 1986 sebelum bersara pada 2013, memenangi 13 gelaran Liga Perdana Inggeris dan mengendalikan 724 perlawanan di Old Trafford.
Sebagai penghormatan terhadap jasanya, bahagian Utara Old Trafford dinamakan Sir Alex Ferguson Stand pada 2011, sebelum patungnya didirikan di luar stadium setahun kemudian. – AGENSI, HMetro Online –
IMedikel TV






