Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV
GUA MUSANG: Dua lelaki tempatan cedera selepas dilibas dengan sebilah pedang ketika berlaku pergaduhan di sebuah stor getah di RPT Kesedar Sungai Terah, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam pada Selasa lalu, kedua-dua mangsa berusia 33 dan 40 tahun mengalami kecederaan pada bahagian muka dan lengan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika beberapa individu sedang berbincang bagi menyelesaikan perselisihan berkaitan pembuangan kepingan mozek pecah serta kerosakan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan stor berkenaan.
“Ketika perbincangan berlangsung, seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai cuba mengeluarkan sebilah pedang yang diselitkan di belakang badannya.
“Salah seorang mangsa cuba menghalang tindakan suspek sebelum berlaku pergelutan dan suspek bertindak melibas pedang berkenaan,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Katanya akibat kejadian itu, mangsa pertama mengalami luka kira-kira 18 sentimeter (cm) pada bahagian pipi kiri, manakala mangsa kedua mengalami luka kira-kirar 5cm pada bahagian lengan kanan.
“Seorang daripada mangsa masih menerima rawatan di hospital.
“Suspek yang cuba melarikan diri selepas kejadian bagaimanapun berjaya ditahan orang awam sebelum diserahkan kepada polis.
“Polis turut merampas sebilah pedang bersarung kayu dan sebilah pisau bagi membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata berbahaya.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Polis turut menasihatkan orang ramai supaya tidak bertindak agresif atau menggunakan senjata dalam menyelesaikan sebarang perselisihan, sebaliknya menyelesaikan pertikaian secara aman atau melaporkannya kepada pihak berkuasa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
IMedikel TV






