Home Buletin Semasa 965 CALON SPM KELANTAN BERISIKO TERJEJAS BANJIR, 14 PUSAT PEPERIKSAAN DIKENAL PASTI

965 CALON SPM KELANTAN BERISIKO TERJEJAS BANJIR, 14 PUSAT PEPERIKSAAN DIKENAL PASTI

Oleh: Nik Nur Zakia Abdullah@IMedikel TV

KOTA BHARU: Seramai 965 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026 di Kelantan dikenal pasti berisiko menghadapi gangguan akibat banjir membabitkan 14 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Siti Norina Muhamad berkata, persediaan awal sudah dilakukan termasuk mengenal pasti pusat peperiksaan alternatif dan kekosongan asrama bagi memastikan calon dapat menduduki peperiksaan sekiranya berlaku banjir.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lapan pusat peperiksaan membabitkan 541 calon dikenal pasti berisiko mengalami gangguan akibat banjir di kawasan pusat peperiksaan dan laluan dari kediaman calon.

“Manakala enam lagi pusat peperiksaan membabitkan 424 calon berdepan risiko banjir di laluan menuju ke pusat peperiksaan, meskipun pusat peperiksaan dan kediaman calon tidak terjejas.

“Mengikut pecahan daerah, Pasir Mas mencatatkan jumlah tertinggi dengan sembilan pusat peperiksaan membabitkan 681 calon, diikuti Machang dan Tumpat masing-masing dua pusat dengan 156 dan 116 calon,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis SPM 2026 Peringkat Negeri Kelantan, di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata Kuala Krai melibatkan satu pusat peperiksaan dengan 12 calon.

“Kita sudah membuat analisis kekosongan asrama di seluruh Kelantan dan semua sekolah yang mempunyai kekosongan sudah dikenal pasti supaya sekiranya berlaku banjir di mana-mana kawasan, kita sudah ada tempat untuk menempatkan calon,” katanya.

Dalam perkembangan sama, seramai 27,998 calon menduduki peperiksaan SPM tahun ini membabitkan 298 pusat peperiksaan di seluruh Kelantan.

Peperiksaan yang bermula hari ini hingga 17 Disember depan itu merangkumi keseluruhan 95 kertas peperiksaan.

Siti Norina berkata, persiapan dari segi logistik, keselamatan dan kebajikan calon berada pada tahap optimum bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

“Seramai 3,284 petugas peperiksaan turut dilantik bagi memastikan kelancaran perjalanan peperiksaan, termasuk ketua pengawas, timbalan ketua pengawas, pengawas dan sukarelawan peperiksaan,” katanya.

Katanya, semua petugas berkenaan turut diberikan taklimat lengkap berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

“Selain itu, seramai 398 calon berkeperluan pendidikan khas (CBPK) turut disediakan kemudahan khas oleh Lembaga Peperiksaan, termasuk masa tambahan, bilik peperiksaan khas serta kertas peperiksaan bercetak besar atau Braille.

“Bagi menghadapi kemungkinan bencana sepanjang tempoh peperiksaan, JPN Kelantan turut mengaktifkan pelan perlindungan termasuk Ops Payung sebagai langkah berjaga-jaga,” katanya.

Menurutnya, kerjasama turut dijalin dengan agensi keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi memastikan akses calon ke pusat peperiksaan terjamin.

IMedikel TV 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here